Make your own free website on Tripod.com
  KETIKA RASULULLAH DALAM KANDUNGAN

KETIKA ZAMAN RASULLULLAH

PENGALAMAN MAISARAH

POHON-POHON KAYU & BATU MENGUCAPKAN SALAM KEPADA BAGINDA

 

POHON KAYU DIPANGGIL RASULULLAH DAN RASULULLAH MEMPUNYAI KEKUATAN LUAR BIASA

KEBENARAN TEKAAN RASULULLAH TERHADAP SURAT PERJANJIAN

BULAN TERBELAH DUA

UTBAH DIMAKAN SINGA

ABU JAHAL DIHALANGI OLEH UNTA YANG SANGAT BESAR

PARA PEMUDA YANG MENGEPUNG RUMAH RASULULAH TERTIDUR LENA

ABU BAKAR DIGIGIT ULAR

KAKI KUDA SURAQAH TERBENAM DI DALAM TANAH

KAMBING KURUS MENGELUARKAN SUSU YANG BANYAK

ORANG-ORANG KAFIR QURAISY MATI DI TEMPAT YANG DITUNJUK RASULULLAH

RASULULLAH SAW DAPAT MENDUGA MAKSUD BURUK UMAIR

RASULULLAH DAPAT MENYEMBUHKAN MATA QATADAH YANG KELUAR

RASULULLAH SAW DAPAT MEMBELAH BATU BESAR

MAKANAN SEDIKIT BOLEH MENJADI BANYAK

DOA RASULULLAH AGAR DATANG RIBUT TAUFAN MENIMPA MUSUH

 PANCARAN AIR DARI JARI RASULLLAH

 AL-QURAN MENJADI MUKJIZAT TERBESAR

 

KETIKA RASULULLAH DALAM KANDUNGAN

        Ketika Siti Aminah Binti Wahab mengandung Rasulullah, dia melihat berbagai keajaiban. Ia merasakan sesuatu yang luar biasa yang tidak pernah dirasakan oleh wanita-wanita hamil yang lain. Sehingga mempunyai firasat atau dugaan yang baik terhadap bayi yang dikandungkan itu.

        Pada suatu malam ia bermimpi, seolah-olah ada cahaya dari perutnya yang memancarkan sinar yang terang menyinari seluruh alam. Sehingga dalam mimpi tersebut Siti Aminah dapat melihat bangunan yang tinggi yang terletak di Kota Syam. Kemudian pada waktu pagi ia menceritakan tentang mimpinya itu kepada suaminya, ia berkata “Wahai suamiku, sesungguhnya malam tadi aku bermimpi seolah-olah ada cahaya dari perutku yang menerangi alam, sehingga aku dapat melihat bangunan-bangunan tinggi di Kota Syam. Setelah itu mendengar suara yang mengatakan bahawa aku sedang mengandung pemimpin umat pada akhir zaman.”

        Isteri Abdul Ash berkata “Ketika aku datang ke rumah Aminah pada malam kelahiran Nabi Muhammad SAW, aku melihat rumah Abdullah ada cahaya yang menerangi seluruh rumah. Aku melihat seolah-olah ada bintang yang turun, sehingga aku khuatir ia akan jatuh.”

        Keadaan di rumah Abdullah menjadi riang dan gembira, sehingga ramai kaum keluarganya datang untuk mengucapkan selamat atas kelahiran bayi yang ditunggu-tunggu itu. Abu Lahab pun ketika itu turut merasa kegembiraan. Kegembiraanya itu dibuktikan dengan dimerdekakan hamba sahayanya. Ia merasa sempurna dan tidak ada aib dan gangguan-gangguan yang buruk.

        Abdul Muthalib sebagai datuk Rasulullah turut merasa bahagia atas lahirnya cucunya itu. Kemudian ia pergi membawa bayi penuh berkah tersebut untuk tawaf mengelilingi Kaabah sebagai bukti kesyukuran terhadap Allah SWT.

        Pada malam kelahiran Nabi Muhammad itu, banyak perkara-perkara ajaib yang telah berlaku. Pada malam itu juga berhala-berhala yang berdiri tegak di depan Kaabah telah jatuh di atas tanah. Ini sebagai bukti bahawa patung-patung itu akan dibersihkan oleh bayi yang baru lahir pada suatu saat nanti.

        Pada malam kelahiran baginda, cahaya dari rumah bapanya Abdullah menyinari bangunan-bangunan yang tinggi di negeri Syam. Peristiwa ini sebagai isyarat bahawa ajaran yang dibawa oleh baginda akan sampai ke negeri Syam, dan penduduk-penduduk di kota itu akan disinari dengan ajaran yang murni dan diredhai Allah SWT.

        Pada malam itu juga tembok mahligai raja Persia menjadi retak. Kemudian 14 jendelanya jatuh berguguran. Padahal tembok itu dibangun dengan teguh dan kukuh. Walaupun demikian rumah-rumah rakyat jelata yang dibangunkan dengan bahan yang sederhana pada malam itu tidak mengalami apa-apa keretakan. Ini juga sebagai bukti bahawa pada suatu hari nanti kerajaan Persia akan runtuh.

        Api Persia yang dinyalakan telah bertahun-tahun tidak pernah padam walaupun sekejap. Api itu tetap dijaga agar terus menyala. Namun pada malam itu, api tersebut menjadi padam. Ini sebagai isyarat padamnya api tersebut ketika lahirnya seorang insan yang mulia.

TOP


KETIKA ZAMAN KANAK-KANAK RASULULLAH SAW

        Pada suatu hari Halimah Assa’diyah menunggang seekor keldai dan suaminya menunggang kuda betina, iapun berangkat menuju Kota Makkkah bersama dengan wanita-wanita tukang susu yang lain. Kebiasaannya, wanita-wanita Arab Quraisy pergi ke tempat yang jauh untuk mencari hasil yang lebih. Mereka berusaha mencari anak-anak orang kaya untuk mengambil upah menyusukan mereka. Haliamah Assa’diyah menunggang keldai yang lemah dan tidak bermaya, begitu juga suaminya, sehingga mereka ketinggalan jauh di belakang.

    Teman-temannya telah sampai di Kota Makkah terlebih dahulu untuk mencari anak susuan atau anak untuk diasuh dan dijaga. Pada mulanya Halimah Assa’diyah menolak tawaran Aminah, bonda Rasulullah namun setelah puas mencari yang lain tetapi tidak jumpa, barulah ia mencuba untuk mengambil Nabi Muhammad sebagai bayi jagaannya. Halimah Assa’diyah berkata kepada suaminya bahawa ia tidak mahu pulang dalam keadaan hampa. Suaminya pun setuju dengan harapan Allah akan memberkahi mereka.

    Ketika Halimah Assa’diyyah ingin menyusukan baginda, tanpa diduga tiba-tiba air susunya menjadi banyak. Padahal sebelum ini air susunya sedikit sahaja dan tidak cukup untuk keperluan bayinya sendiri. Setelah ia menyusukan anak Siti Aminah, anaknya sendiri merasa kenyang, sedangkan ia masih sanggp untuk memberikan susu kepada anaknya dan Nabi Muhammad. Begitulah keajaiban yang terjadi dalam sejarah kehidupan Nabi Muhammad ketika di bawah jagaan ibu susuannya. Suami Halimah Assa’diyah dapat merasakan bahawa kehadiran anak yatim tersebut membawa berkat yang tidak diduga-duga.

    Setelah itu, berangkatlah Halimah Assa’diyah bersama suaminya dan Nabi Muhammad menuju ke kampung mereka. Di dalam perjalanan, unta yang tua tadi dapat berlari dengan laju sehingga kawan-kawan mereka ketinggalan di belakang. Setelah sampai di kampung halaman, kehidupan Halimah Assa’diyah serta keluarganya sentiasa merasakan kedamaian dan kegembiraan. Segala keperluan dan rezeki mereka dapat dengan mudah. Begitu juga kambing-kambing mereka menjadi gemuk dan banyak susunya sehingga sahabat-sahabat mereka di kampung itu menjadi hairan. Mereka berusaha mengikuti tempat makan kambing-kambing Halimah, namun kambing-kambing mereka tetap kurus, kerana ketika itu musim kemarau.

    Pada suatu hari, Nabi Muhammad pergi bersama-sama dengan saudara sesusuannya untuk mengembala kambing. Ketika sampai di tanah lapang, dimana kambing-kambing sedang menikmati rumput-rumput yang hijau, maka datanglah dua orang yang berpakaian putih menghampiri Nabi Muhammad. Lalu Nabi Muhamad dibaringkan dan di belah bahagian perut baginda. Saudara sesusuannya berlari meninggalkan Nabi Muhammad untuk menemui ayah dan ibunya dan memberitahu tentang apa yang mereka lihat. Halimah Assa’diyah dan suami pergi menemui Muhammad di tanah lapang dalam keadaan seperti biasa. Dengan perasaan senang hati, dia memeluk Nabi Muhammad dan menciumnya, sambil bertanya tentang apa yang telah terjadi ke atas diri Nabi Muhammad.

    Nabi Muhammad pun menceritakan bahawa ada dua orang lelaki yang berpakaian putih menghampirinya dan membedah perutnya. Mereka membawa bekas yang dibuat daripada emas dan di dalamnya berisi air yang sangat sejuk (air zamzam). Mereka mengambil darah berwarna hitam dan membuangnya. Dua orang lelaki berpakaian putih itu berkata bahawa darah hitam itu adalah sarang syaitan. Lalu mereka membersihkan hati baginda dengan air yang sejuk itu, kemudian menutup perut baginda seperti sedia kala. Mereka mencium dahi di antara dua mata baginda dan memeluk baginda. Akhirnya merekapun pergi dan lenyap dari pandangan mata.

    Halimah Assa’diyah betul-betul merasa hairan dengan berbagai keajaiban dan kelebihan yang dimiliki oleh Nabi Muhammad ketika masih kanak-kanak lagi. Menurut sangkaannya bahawa Nabi Muhammad akan berumur panjang dan akan menjadi seorang pemimpin besar yang berpengaruh. Siang malam ia memperhatikan tingkah laku Muhammad bagaikan anak kandungnya sendiri. Setelah itu, ia merasa khuatir akan keselamatan Nabi Muhammad, akhirnya mereka berhajat untuk pergi ke Kota Mekah untuk menyerahkan Nabi Muhammad kepada bonda kandungnya, Aminah.

TOP


.PENGALAMAN MAISARAH


     Sesungguhnya Maisarah hamba Siti Khadijah merasakan banyak keajaiban yang dilihatnya ketika bersama dengan Nabi Muhammad dalam mengadakan perjalanan ke negeri Syam. Di antara keistimewaan dan keajaiban yang dapat dirasakan ialah:   

    Setelah semua barang-barang selesai dijual, maka mereka pun menyiapkan diri untuk kembali ke Kota Makkah. Maisarah melihat ke atas, ternyata awan putih telah menunggu untuk memayungi perjalanan mereka. Di Makkah, Siti Khadijah telah menunggu kepulangan Nabi Muhammad dan Maisarah serta pekerja-pekerja yang memantu perniagaan tersebut. Khadijah gembira dengan keuntungan yang diperolehi. Khadijah memuji kepintaran Rasulullah dalam berniaga.

    Akhirnya, baginda memohon diri untuk pulang ke rumah baginda. Setelah kepergian Rasulullah tersebut, Siti Khadijah ingin mendengar cerita tentang Nabi Muhammad selama perjalanan yang mereka lalui. Mendengar cerita tersebut, Siti Khadijah merasakan bahawa Nabi Muhammad adalah seorang insan yang terbaik pilihan Allah swt.

TOP


POHON-POHON KAYU & BATU MENGUCAPKAN SALAM KEPADA BAGINDA


    Ketika saat sampainya pengangkatan baginda sebagai Rasulullah, baginda tidak suka dengan keriuhan dan keramaian serta kesibukan Kota Makkah. Nabi Muhammad suka menyendiri, duduk di dalam gua dan sebagainya, sehingga berbulan-bulan lamanya. Baginda senang menyaksikan keindahan alam dan persekitarannya. Kadang-kadang Baginda berjalan-jalan di kampung-kampung untuk menikmati alam ciptaan Allah SWT.

    Batu–batu dan pohon-pohon kayu mengucapkan salam kepada baginda. Baginda menoleh ke kanan dan ke kiri, tidak ada seorang manusia pun berada di sana. Kecuali hanya pohon-pohon kayu dan batu-batu sahaja. Baginda sering bermimpi dengan perkara yang benar-benar akan terjadi. Jika baginda bermimpi pada malam hari, maka mimpi tersebut akan terjadi pada siangnya. Mimpi tersebut bukan perkara yang samar-samar, melainkan perkara yang jelas di lihat dan dirasakan oleh baginda. Dengan kejadian-kejadian yang aneh dan menakjubkan ini membuat Nabi Muhammad SAW suka mengasingkan diri dan sentiasa berada di gua Hira’ sehingga turunlah wahyu yang pertama kali iaitu surah “Al-Alaq”. Wahyu ini sebagai bukti pengangkatan baginda sebagai Rasulullah saw, merupakan utusan Allah untuk seluruh umat manusia. Baginda sebagai pembawa agama yang benar, sebagai rasul terakhir dan ajarannya akan terus dilaksanakan hingga dunia kiamat.

TOP


POHON KAYU DIPANGGIL RASULULLAH DAN RASULULLAH MEMPUNYAI KEKUATAN LUAR BIASA


    Di Kota Madinah ada seorang lelaki yang kuat dan mempunyai tubuh yang besar, dan bernama Rukanah Bin Abdu Yazid. Pada suatu hari, Rasulullah berjumpa dengannya. Rasulullah bersabda kepadanya “Wahai Rukanah, alangkah baiknya kamu bertaqwa kepada Allah dan mahu mengamalkan ajaran yang aku bawa.” Rukanah menjawab “Seandainya aku mengerti dan memahami bahawa agama yang engkau bawa itu betul, tentu sejak dulu aku telah mengikuti engkau.” Rukanah ingin membuktikan kebenaran Rasulullah dan ingin mengikuti ajaran baginda dengan kekuatan baginda. Rasulullah pun bersabda “Seandainya aku mampu mengalahkan kamu, dapatkah menerima bahawa yang aku katakan adalah benar?” Rukanah menjawab “Boleh ya Muhammad.”

    Setelah itu terjadilah perlawanan. Baru sahaja sekali tumbuk, Rukanah terjatuh dan tidak berdaya lagi. Rukanah tidak berpuas hati dan ingin mengulanginya lagi. Baru sekali sahaja tolakan, ia pun jatuh kembali. Ia merasa hairan mengapa tubuhnya yang kuat dan besar itu dapat dikalahkan oleh Rasulullah saw. Rasulullah pun kembali menunjukkan suatu mukjizat yang mengagumkan. Dan berharap Rukanah beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Rukanah pun berjanji akan mengikuti ajaran Rasulullah, asalkan ia dapat melihat satu keajaiban lagi.

    Rasulullah SAW pun memanggil pohon kayu yang ada di tepi jalan. Kemudian kayu itu pun berjalan mendekati baginda. Kemudian baginda pun bersabda “Kembalilah ke tempat mu semula” Lalu pohon itu pun kembali ke tempatnya semula. Setelah itu Rukanah menemui masyarakat Quraisy dan mengatakan kepada mereka, bahawa Muhammad adalah seorang ahli sihir yang sungguh menakjubkan dan dia mengatakan bahawa dia belum pernah menemui ahli sihir yang lebih hebat daripada Muhammad. Ia juga menceritakan segala yang terjadi ketika ia berjumpa dengan Rasulullah serta kekalahannya dengan Rasulullah. Begitulah Rukanah tidak memahami untuk membezakan antara sihir dan mukjizat seorang rasul. Namun begitu, Rukanah akhirnya memeluk ajaran Islam dan meninggal dunia pada zaman kerajaan Muawiyah bin Abi Sufyan.

TOP


.KEBENARAN TEKAAN RASULULLAH TERHADAP SURAT PERJANJIAN

 


    Pada tahun kesembilan kenabian, para pengikut Rasulullah SAW semakin bertambah. Begitu juga penindasan dan penganiayaan terhadap orang Islam semakin kuat dilakukan oleh kafir Quraisy. Orang-orang kafir semakin marah kerana segala usaha yang mereka lakukan untuk menyekat perjuangan Rasulullah gagal dan sia-sia sahaja. Akhirnya mereka bersepakat untuk menyekat Rasulullah dan pengikut baginda jangan keluar dari tempat bernama “Seeb Ali” Isi perjanjian penyekatan terhadap kaum muslimin tersebut di tulis di atas kertas kemudian digantungkan pada dinding Kaabah.    

    Tujuannya adalah agar semua orang dapat mngetahui dan mematuhi kandungan perjanjian tersebut. Penyekatan itu berlangsung selama tiga tahun lebih, sehingga kaum muslimin yang terperangkap di “Seeb Ali” betul-betul mengalami penderitaan, dan ada yang telah makan rumput dan daun-daun kayu. Pada suatu hari, Rasulullah SAW berkata kepada bapa saudaranya Abu Thalib, bahawa surat perjanjian yang diletakkan di dalam Kaabah itu telah koyak di makan anai-anai. Hanya tinggal nama-nama Allah sahaja.

    Mendengar kata-kata Rasulullah tersebut, Abu Thalib merasa hairan, siapakah yang masuk ke dalam Kaabah sehingga Rasulullah mengetahui perkara itu. Jika tidak ada orang yang masuk ke dalam Kaabah, sesungguhnya keterangan Rasulullah itu sangat ajaib sekali. Kemudian Abu Thalib berjumpa dengan tokoh-tokoh kafir Quraisy. Ia menjelaskan kepada mreka tentang apa yang dikatakan oleh baginda.

    Abu Thalib berkata kepada mereka “Jika perkataan anak saudara ku itu benar, maka ia tetap bersamaku. Namun jika keterangan anak saudara ku itu tidak benar, maka aku serahkan hal ehwal Muhammad kepada kamu semua.” Kemudian Abu Thalib besama tokoh-tokoh kafir Quraisy melihat bersama-sama ke Kaabah. Alangkah terkejutnya mereka setelah melihat surat perjanjian yang telah lapuk dimakan anai-anai. Dengan demikian keterangan Nabi Muhammad bukanlah satu pembohongan melainkan satu kebenaran. Rasulullah SAW dan kaum muslimin tidak diberitahu tentang isi surat perjanjian itu, sebab surat perjanjian itu hanya berlaku sebelah pihak saja iaitu orang-orang kafi Quraisy. Isinya iaitu mereka melarang orang-orang kafir Quraisy berkahwin dengan pengikut Nabi Muhammad.

    Ramalan Rasulullah itu atas petunjuk Allah SWT. Ia merupakan suatu perkara yang ajaib. Namun begitu, orang-orang kafir Quraisy masih menganggap bahawa Rasulullah seorang pendusta. Semuanya itu sebagai bukti untuk menunjukkan fakta kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad. Kemudian, terjadilah perselisihan pendapat di antara mereka. Ada yang mengatakan agar perjanjian itu ditamatkan sahaja sesuai dengan kehancuran surat perjanjian itu. Dan ada pula yang masih tetap mempertahankan perjanjian itu, tetapi akhirnya perjanjian tersebut dibatalkan.

TOP


BULAN TERBELAH DUA


    Pada tahun kesembilan kenabian, suatu hari Rasulullah diminta oleh orang-orang kafir Quraisy Makkah agar menunjukkan bukti bahawa ajaran Islam yang dibawa oleh baginda benar-benar utusan Allah. Suatu bukti bahawa ajaran Islam yang dibawa oleh baginda bukan dari pemikiran baginda sahaja akan tetapi murni daripada Allah SWT. Kemudian Rasulullah disuruh membelah bulan. Akhinya Rasulullah membelah bulan dengan tangannya sehingga terbelah dua. Lalu Rasulullah SAW bersabda “Saksikanlah bukti kebenaran itu.”

    Orang-orang kafir Makkah sungguh merasa hairan dengan bukti yang mereka saksikan. Hati nurani mereka mengakui bahawa Nabi Muhammad seorang yang benar dan jujur, namun kerana kekafiran yang ada di dalam hati, mereka berusaha untuk mengelak dari kebenaran itu. Mereka menangguhkan pernyataan bahawa Nabi Muhammad SAW itu benar-benar seorang Nabi dan rasul yang diutus oleh Allah SWT. Dengan alasan bahawa mereka sedang menunggu kedatangan kalifah dari Syam. Bahkan mukjizat Nabi tersebut ada yang menganggapnya suatu kebohongan dan sihir. Setelah kalifah Syam memasuki Kota Makkah, mereka pun bertanya kepada kalifah tersebut “Apakah tuan-tuan juga melihat bahawa bulan terbelah dua?” Mereka menjawab bahawa memang mereka menyaksikan pemandangan itu.

    Bukti itu juga masih tidak dapat memberikan kepercayaan kepada kafir Makkah sehingga mereka sanggup mengatakan bahawa Rasulullah memperdaya mereka dengan ilmu sihir. Inilah sebagai bukti terhadap hati yang tidak dapat nur hidayah atau cahaya petunjuk. Kejujuran telah mereka saksikan dan mukjizat-mukjizat yang benar telah mereka lihat, namun hati mereka tetap keras seperti batu. Kebenaran mereka nafikan dan mukjizat-mukjizat Rasulullah mereka anggap sihir, akhirnya mereka ada yang tetap tergolong kafir hingga akhir hayatnya.

TOP

UTBAH DIMAKAN SINGA


    Sikap permusuhan masyarakat kafir Makkah semakin menjadi-jadi terhadap Rasulullah dan pengikut Islam yang lainnya. Mereka sentiasa berusaha untuk menghalangi perkembangan Islam. Mereka juga berusaha untuk meracuni pemikiran kawan-kawan mereka agar berusaha sedaya upaya untuk menyakiti hati baginda. Oleh sebab itu, mereka pernah memberi cadangan kepada Utbah dan Utaibah agar menceraikan isteri mereka iaitu Ummu Kalsum dan Ruqaiyah. Mereka pun menerima cadangan orang-orang kafir laknatullah itu.

    Lalu, Utbah dan Utaibah pergi menemui Rasulullah dengan membawa kedua orang puteri baginda. Mereka berkata “Wahai Muhammad, aku ceraikan puterimu dan aku tinggalkan agamamu serta aku tidak akan mengikutimu selama-lamanya.” Kemudian baginda pun berdoa agar mereka di makan singa. Pada suatu hari, Utbah berniaga ke negeri Syam bersama dengan rombongan kafilah yang menunggang unta. Di tengah-tengah perjalanan ada singa yang meraung-raung di hadapan mereka. Dia ingin meneram Utbah, sehingga ia teringat akan doa Nabi Muhammad, dan masih memiliki harapan agar doa Rasulullah itu ditarik balik. Sahabat-sahabat Utbah berusaha menghalangi Utbah daripada diserang singa tersebut. Akhirnya singa tersebut lari menghilangkan diri. Ketika malam telah datang, ketika semuanya telah tidur lena, tiba-tiba singa tadi datang menghampiri Utbah dan menerkamnya hingga mati. Sesungguhnya Allah SWT beserta para Rasul-Nya dan akan mengabulkan setiap doa-doa Rasul-Nya.

TOP


ABU JAHAL DIHALANGI OLEH UNTA YANG SANGAT BESAR


    Setiap orang yang ingin berbuat kejahatan kepada Rasulullah akan menerima balasan daripada Allah SWT. Walaupun berbagai tipu daya yang mereka lakukan maka Allah akan membela Rasul-Nya dengan memberikan mukjizat yang luar biasa terhadap baginda. Pada suatu hari Abu Jahal berkata di hadapan orang-orang Quraisy bahawa Rasulullah adalah orang yang suka berbicara bohong dan selalu mencaci-caci orang yang menyembah berhala dan menghina tuhan-tuhan kaum Quraisy. Rasulullah selalu berdakwah agar mereka meninggalkan daripada menyembah berhala dan digantikan dengan menyembah Allah SWT.

    Abu Jahal berkata “Besok pagi, bila aku melihat Muhammad sedang mengerjakan solat dan bersujud, aku akan membawa batu besar dan menjatuhnya ke atas kepalanya. Segala risikonya biarlah aku tanggung sendiri, asalkan kaum Quraisy merasa puas.” Pada keesokkan harinya, Abu Jahal berkeras ingin membuktikan ungkapannya itu. Dia membawa batu besar untuk menunggu Nabi Muhammad datang mengerjakan solat. Tokoh-tokoh Quraisy duduk bersama-sama sambil menunggu apa yang akan terjadi dari usaha Abu Jahal tersebut.

    Tidak lama kemudian Rasulullah SAW datang ke Kaabah untuk mengerjakan solat. Abu Jahal membawa batu besar di atas bahunya. Abu Jahal pun datang mendekati Rasulullah untuk menjatuhkan batu itu ke atas kepala Rasulullah. Tiba-tiba Abu Jahal pun mengundur ke belakang dan menjatuhkan batu yang dibawanya. Wajahnya menjadi pucat, tubuhnya tidak bermaya kerana diliputi oleh rasa takut. Tokoh-tokoh Quraisy yang duduk tidak berapa jauh dari tempat itu tiba-tiba terkejut melihat keadaan Abu Jahal. Setelah itu Abu Jahal pun menceritakan tentang apa yang dialami ketika mendekati Rasulullah. Dia telah dihalangi oleh seekor unta raksasa yang sangat besar yang ingin memakannya. Ia merasa takut sekali sehingga dia mengundurkan diri. Demikianlah sebahagian dari cara yang diberikan Allah kepada Rasulullah dalam menghadapi orang-orang kafir.


TOP

 PARA PEMUDA YANG MENGEPUNG RUMAH RASULULAH TERTIDUR LENA


    Orang-orang kafir Quraisy berusaha ingin membunuh Rasulullah. Pada suatu hari mereka bermesyuarat untuk membincangkan bagaimana cara untuk membunuh Rasulullah SAW, yang selama ini usaha mereka itu hanya menemui kegagalan. Di dalam mesyuarat itu ada yang mencadangkan agar Rasulullah SAW dibuang dari Kota Makkah. Sebahagian yang hadir setuju dengan cadangan tersebut.

    Ketika itu masuk iblis yang menyamar sebagai orang tua sambil berkata “Jika kamu mengusirnya, sudah tentu ia akan diterima oleh bangsa lain. Lama-kelamaan pengikutnya akan bertambah ramai dan akan menghancurkan kamu. Bagaimana jika kita bunuh saja Muhammad itu.” Abu Jahal menyambut cabaran itu dengan senang hati. Bahkan ia mencadangkan agar diatur strategi yang baik. Ia menyuruh mengambil tiap satu suku beberapa orang yang kuat dan pandai dalam membunuh. Kemudian dari berbagai suku itu dihimpun menjadi satu kekuatan yang akan menghancurkan Nabi Muhammad SAW. Jika Nabi Muhammad keluar dari rumah, mereka harus membunuh secara bersama-sama. Dengan cara ini keluarga Bani Hasyim akan sukar untuk menghadapi semua suku di Tanah Makkah itu.

    Cadangan Abu Jahal tersebut dipersetujui oleh peserta mesyuarat. Pada malam berikutnya mereka bercadang untuk mengepung rumah Nabi Muhammad. Sebelumnya Rasulullah SAW telah berpesan kepada Abu Bakar bahawa malam tersebut akan berlaku hijrah. Para pemuda-pemuda kafir Quraisy semuanya telah mengepung rumah baginda. Mereka tidak mahu memasuki rumah baginda tersebut, kerana mereka hanya mendapat perintah supaya menunggu di luar sahaja. Sebelum Rasulullah SAW mengadakan perjalanan, baginda menyuruh Ali Bin Abi Thalib tidur di atas tempat tidur baginda. Rasulullah SAW telah mengetahui dan sedar bahawa rumah baginda telah dikepung oleh pemuda-pemuda kafir Quraisy.

    Mereka semua berhasrat ingin membunuh dan memotong-motong tubuh baginda seperti yang dikatakan oleh Abu Jahal dalam mesyuarat di gedung Darun Nadwah. Baginda menghadapi cubaan ini dengan hati yang terbuka dan keimanan yang teguh. Baginda yakin bahawa Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang benar. Tiada rasa takut walaupun sedikat dalam hati baginda. Baginda membuka pintu rumah dan keluar dengan tenang, baginda melihat seluruh pemuda yang ada di luar semuanya telah tertidur lena. Baginda tidak sedikitpun berniat jahat terhadap mereka, malah baginda hanya mengambil segenggam debu dan menaburkan kepada mereka yang sedang tidur nyenyak.

    Di keheningan malam itu, baginda selamat sampai ke rumah Abu Bakar untuk mengadakan penghijrahan keluar dari kota Makkah. Abu Bakar sangat senang hati dan bahagia melihat Rasulullah dalam keadaan aman dan damai. Telah lama menjadi impian Abu Bakar agar dapat meninggalkan kota Makkah dan menuju ke tempat yang lebih baik. Rasulullah dan Abu Bakar merencanakan untuk berhijrah pada malam itu. Abu Bakar mengira bahawa hijrah pada malam itu akan terus menuju kota Madinah sebagaimana perintah agar berhijrah sebelumnya. Namun setelah Rasulullah dan Abu Bakar sampai di perkampungan Kuda’i, Nabi Muhammad SAW mengubah rencananya tersebut dan akhirnya mereka mendaki gunung Tsur. Di atas gunung itulah terdapat gua yang diberi nama Gua Tsur.

TOP


.ABU BAKAR DIGIGIT ULAR


    Setelah sampai di depan pintu Gua Tsur, Rasulullah SAW ingin masuk ke dalam gua itu. Namun sebelum baginda masuk, Abu Bakar pun mengumpul batu-batu kecil yang ada di dalamnya kemudian menutup lubang-lubang yang ada dalam gua tersebut. Setelah gua itu bersih, Nabi pun masuk ke dalam gua dan berbaring di atas tanah sedangkan kepala baginda di atas paha Abu Bakar. Setelah itu baginda pun tertidur, sedangkan Abu Bakar masih dalam keadaan berjaga. Ia berusaha menjaga agar baginda tidak terbangun, serta mengawasi keadaan di dalam gua tersebut daripada binatang berbisa seperti kala jengking dan ular. Di dalam gua tersebut masih ada lubang yang tidak sempat di tutup oleh Abu Bakar. Kemudian Abu Bakar nampak seekor ular ingin keluar dari lubang itu. Segera ia menutup dengan kakinya yang sebelah lagi. Ketika itu ular tersebut menggigit Abu Baka sehingga bisa racunnya menjalar ke seluruh tubuh.

    Abu Bakar menahan sakit tidak terperi, sehingga beliau menangis mencucurkan air matanya. Tapi ia tetap berusaha menahan kesakitan itu agar Rasulullah tidak terbangun daripada tidur. Air mata Abu Bakar akhirnya menitis ke wajah baginda sehingga baginda terbangun. Baginda bertanya “Apakah yang menyebabkan engkau menangis ya Abu Bakar?” Abu Bakar menjawab “Wahai Rasulullah, ular telah menggigit kakiku.” Lalu Rasulullah melihat kaki Abu Bakar kemudian baginda meludahnya, seketika itu juga bisanya hilang. Begitulah mukjizat yang Allah berikan kepada baginda. Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar berada di gua Thur itu selama tiga hari. Asma binti Abu Bakarlah yang mengirimkan makanan dengan menyamar sebagai seorang pengembala biri-biri di kaki gunung Tsur tersebut. Sedangkan Abdullah bin Abu Bakar Siddiq selalu datang menyampaikan berita tentang usaha masyarakat Makkah dalam mencari baginda.

TOP


KAKI KUDA SURAQAH TERBENAM DI DALAM TANAH


    Penduduk Makkah selalu membicarakan peristiwa ajaib ketika mereka mengepung rumah Rasulullah SAW dengan tujuan untuk membunuh baginda. Tetapi usaha mereka gagal dan bahkan para pemuda yang telah bersedia untuk membunuh itu tertidur lena dan penuh dengan debu-debu.

    Penduduk kafir Makkah mengadakan mesyuarat lagi. Mereka memutuskan sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah SAW baik dalam keadaan hidup atau mati akan diberikan hadiah dengan 100 ekor unta. Pada ketika itu, berkata salah seorang daripada mereka: “Sesungguhnya kelmarin aku melihat ada tiga orang sedang berjalan menuju suatu temat, mungkin mereka adalah Muhammad dan Abu Bakar sedangkan seorang lagi adalah penunjuk jalan.” Para peserta mesyuarat mempercayai apa yang dikatakan oleh seseorang tadi. Namun Suraqah bin Malik mengalihkan perhatian peserta mesyuarat dengan mengatakan “Mereka adalah dari golongan kami yang sedang mencari untanya yang telah hilang.”

    Dia berkata demikian kerana ia beharap dialah nanti yang akan dapat menangkap Rasulullah SAW serta mendapat hadiah yang ditawarkan. Setelah itu dia pulang ke rumahnya dan menyuruh pelayannya untuk menyiapkan perlengkapan. Setelah persediaan perlengkapan untuk menangkap Rasulullah SAW disiapkan, Suraqah segera menunggang kudanya menuju kearah Rasulullah dan Saidina Abu Bakar. Kuda Suraqah terkenal kuat di kalangan mereka di Makkah, ia membawa kuda tersebut dengan kencang sekali. Tidak berapa lama kemudian ia nampak tiga orang yang sedang berjalan.

    Ternyata mereka adalah Rasulullah SAW, Abu Bakar dan seorang penunjuk jalan. Suraqah mengejar mereka, baru sahaja kudanya menghampiri Rasulullah SAW kaki kudanya tergelincir sehingga ia tersungkur jatuh ke bawah. Abu Bakar berusaha untuk melindungi baginda daripada gangguan musuh. Akhirnya Abu Bakar mengenali lelaki yang menunggang kuda yang mengejar mereka, dia adalah Suraqah bin Malik penunggang kuda yang terkenal di Kota Makkah. Setelah jarak antara Suraqah dekat sekali, maka Abu Bakar berkata; “Wahai Rasulullah, Suraqah akan membunuh kita.” Ketika Suraqah ingin melakukan niat buruknya itu maka tiba-tiba bumi menjadi terbelah, dan kuda Suraqah terpelanting di atas pasir.

    Setelah ia bangun, barulah dia menyedari bahawa nabi Muhammad SAW adalah benar-benar rasul. Kemudian ia meminta maaf atas kesalahannya dan dia mengambil harta bendanya untuk diserahkan kepada Rasulullah. Namun, Rasulullah SAW menolaknya. Setelah itu ia pun pulang ke Makkah dan mematahkan semangat orang yang berusaha mencari Rasulullah. Bagi mereka yang separuh perjalanan untuk mencari Rasulullah, ia mencegahnya dan menyuruh pulang. Begitulah ketinggian dan kemuliaan seorang Rasul yang diutuskan oleh Allah SWT.

TOP


KAMBING KURUS MENGELUARKAN SUSU YANG BANYAK


    Dalam perjalanan Rasulullah bersama Abu Bakar dengan ditemani oleh seorang penunjuk jalan, mereka merasa letih dan berhasrat untuk berehat sebentar. Mereka bertiga singgah didalam khemah Atikah binti Khalid, iaitu seorang wanita yang berbudi luhur, suka menghormati tetamu dan mempunyai jiwa yang bersih. Rasulullah bertanya “Apakah ada makanan yang dapat kami beli?” Atikah menjawab “Jika ada makanan sudah tentu kami akan memberikannya tanpa harus di beli?”

    Kemudian baginda melihat ada seekor kambing yang kurus milik Atikah yang tertinggal di situ sedangkan yang lain pergi mencari makan. Baginda menanyakan apakah kambing tersebut ada susunya. Atikah menjelaskan bahawa kambing itu kurus lagi kempis susunya. Lalu baginda meminta izin agar dibenarkan memerah susu kambing kurus itu. Atikah pun mengizinkan baginda.

    Rasulullah mengusapkan susu kambing itu dan membaca Bismillah Allahumma Bariklan aFisyatiha ertinya berilah berkat kambing betina ini untuk kami. Doa Rasulullah itu terkabul sehingga apa yang diinginkan dapat tercapai. Susu kambing itu menjadi besar lalu baginda menyuruh Atikah agar mengambil bekas. Atikah merasa terkejut dengan kejadian aneh itu, tidak terfikir olehnya bahawa kambing yang kurus itu dapat mengeluarkan susu yang sangat banyak. Atikah melihat Rasulullah dengan teliti sehingga ia dapat menceritakan tentang perkara yang terjadi kepada suaminya nanti.

    Setelah Rasulullah memerah susu itu baginda memberikan kepada Atikah, setelah itu baginda memerahnya lagi diberikan kepada Abu Bakar. Seterusnya baginda memerahnya dan memberikan kepada Abdullah bin Uraikit sebagai penunjuk jalan. Kemudian barulah baginda memerah untuk baginda minum. Setelah itu baginda juga memerahkan untuk Atikah sekeluarga. Setelah mereka berehat, mereka berhasrat untuk meneruskan perjalanan. Tidak lama setelah pemergian mereka, suami Atikah pun pulang. Ketika ia melihat bekas yang besar itu penuh dengan susu ia menjadi hairan. Telah begitu lama ia tidak susu, pada hari itu ia melihat susu yang sangat banyak. Suami Atikah bertanya dari mana Atikah memperoleh susu sedangkan kambing-kambing mereka semuanya kurus.

    Akhirnya Atikah menceritakan semua yang dilihatnya. Setelah mendengar cerita dari Atikah suaminya berkata “Dialah musafir Quraisy, aku sering mendengar bahawa dia membawa ajaran baru. Seandainya aku berjumpa dengan aku rela menjadi rakan karibnya. Apapun halangannya aku akan berjumpa dengan Rasulullah SAW.” Pada masa lain Atikah menceritakan bahawa kambing kurus yang diperah Rasulullah SAW susunya itu terus mengeluarkan susunya selama lapan tahun. Begitu besarna nilai mukjizat yang ada pada diri Rasulullah SAW. Hanya orang-orang yang beriman mahu mengimani semuanya itu. Tetapi orang-orang kafir hanya bertambah kekafiran mereka.

TOP


ORANG-ORANG KAFIR QURAISY MATI DI TEMPAT YANG DITUNJUK RASULULLAH


    Setelah dua tahun Rasulullah SAW membentuk masyarakat Islam di Madinah, para sahabat selalu setia bersama baginda. Mereka dididik dengan pendirian Islam serta sentiasa disiplin dalam mengerjakan sesuatu yang diperintah oleh Rasulullah SAW. Usaha Rasulullah di Madinah iaitu untuk mengukuhkan lagi pembangunan masyarakat Islam, sehingga tidak di tindas oleh kaum kafir. Setelah mereka memperoleh pendidikan Islam daripada Rasulullah SAW mereka sanggup membangun ekonomi, persenjataan dan pertahanan dengan baik. Pada suatu hari ketika kalifah perniagaan orang-orang kafir Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan datang dari Syam menuju Kota Makkah, maka baginda menganjurkan kepada para sahabat untuk menghalangi mereka.   

    Namun begitu Abu Sufyan mengetahui bahawa mereka akan menghadapi ancaman maut. Dia segera memberitahukan perkara itu kepada para pemuda kafir Quraisy di Makkah. Mereka pun menyampaikan kepada rakyat Makkah bahawa kalifah perniagaan mereka dalam keadaan bahaya. Orang-orang Makkah menghimpun kekuatan dengan seribu pasukan berkuda. Mengetahui keadaan itu baginda pun menghimpun kekuatan dan mengajak mereka ke tempat yang bernama Badar.

    Sesampainya di tempat tersebut Rasulullah SAW menunjuk pada salah satu tempat sambil bersabda: “Di sini si fulan akan terbunuh, di situ si fulan akan terbunuh.” Baginda menyebut nama-nama mereka. Setelah peperangan selesai, pasukan Quraisy mulai berundur untuk pulang ke Makkah. Abdullah bin Mas’ud memeriksa tentera-tentera yang gugur dalam perang Badar. Dia berjumpa Abu Jahal yang masih hidup dan terbaring di tanah. Abu Jahal masih sempat bertanya dengan Abdullah bin Mas’ud: “Siapakah yang menang dalam peperangan ini?”. Abdullah bin Mas’ud menjawab: “Yang menang adalah tentera Allah dan Rasul-Nya.” Abdullah bertanya: “Wahai Abu Jahal, apakah kamu telah diajar oleh Allah?”. Abu Jahal bertanya: “Dengan apa dia mengajarku?” Abdullah pun kembali bertanya: “Apakah kamu tidak di bunuh oleh bangsamu sendiri?”. Abu Jahal memahami ungkapan Abdullah itu bahawa dia akan di bunuh oleh Abdullah bin Mas’ud. Lalu Abdullah memancung leher Abu Jahal, maka matilah ia ketika itu juga. Di tempat yang di tunjuk Rasulullah SAW sebelum perang di situlah Abu Jahal mati. Begitu juga tokoh-tokoh yang lain yang baginda sebut mati di tempat yang baginda tunjuk sebelumnya.

TOP


RASULULLAH SAW DAPAT MENDUGA MAKSUD BURUK UMAIR


    Setelah selesai perang Badar, ramai tentera Quraisy yang ditangkap sebagai tawanan perang. Ahli keluarga yang di tawan sentiasa dalam keadaan gelisah. Di antara yang tertawan iaitu anak Umair. Pada suatu hari Umair berjumpa dengan Abu Sufyan bin Umaiyah dekat Ka’bah di kota Madinah kemudian ia berkata: “Wahai Abu Sufyan jika aku mempunyai hutang yang selalu menyusahkan hatiku, dan mempunyai anak yang masih kecil siapakah yang sanggup untuk melaksanakan tanggungjawabku itu?”

    Abu Sufyan menjawab: “Wahai Umair, janganlah engkau fikirkan perkara itu, hutang akan aku bayarkan sedangkan anak-anakmu aku jaga seperti anak-anakku sendiri.” Setelah itu Umair mengambil pedangnya dan berangkat ke Madinah dengan tujuan untuk memancung leher Rasulullah SAW. Pada waktu baginda duduk dengan para sahabat, Umair pun datang dengan tiba-tiba sambil membawa pedang. Umar bin Khattab pun berkata: “Dia adalah musuh Allah, kedatangannya adalah untuk berniat jahat.”

    Umar pun berdiri dan memegang tangannya untuk dibawa menghadap Rasulullah SAW. Setelah Rasulullah SAW memperkenankan Umar dan Umair menghadap baginda, maka bagindapun bertanya: “Apakah tujuan kamu datang wahai Umair?” Umair pun menjawab: “Aku datang untuk menebus anakku yang tertawan dan aku mengharapkan agar engkau melayannya dengan baik.” Kemudian Rasulullah SAW bertanya lagi: “ Untuk apa dan apa tujuan engkau membawa pedang itu?” Umair menjawab: “Sesungguhnya pedang ini tidak layak untuk aku gunakan.” Rasulullah bertanya lagi: “Wahai Umair, katakanlah sesunguhnya untuk apa kamu datang kemari dengan keadaan marah?” Umair menjawab: “Aku tidak mempunyai tujuan lain kecuali apa yang telah aku katakan kepadamu.” Nabi menjawab: “Sesungguhnya engkau berbohong, bukankah kamu telah berbincang dengan Abu Sufyan ingin membunuhku?”

    Mendengar jawapan Rasulullah itu, Umair pun terkejut kerana Nabi dapat mengetahui dan menyingkap tabir rahsia peribadinya. Teringat kembali olehnya ketika ia berkata dengan Abu Sufyan di hadapan Ka’bah. Ketika itu hanya mereka berdua di sana, dan tidak seorang pun yang mengetahui rencana itu. Namun Rasulullah dapat mengetahui apa yang mereka bincangkan. Ia berkata dalam hati: “Apakah pendengaran baginda sanggup mendengar suaraku di Makkah, ataukah pandangan baginda tembus tanpa batas. Seandainya baginda bukan Rasul, nescaya tidak mampu melakukanya.” Pada ketika itu Nur hidayah menerangi hatinya. Akhirnya ia menemukan jalan yang lurus dan dia bersaksi bahawa tiada Tuhan yang patut di sembah melainkan Allah dan Muhammad itu sebagai utusan Allah. Setelah itu Umair pulang bersama dengan anaknya yang ditawan itu. Sedangkan Abu Sufyan masih tetap dalam kekafiran hinggalah kekuatan Islam memasuki kota Makkah

TOP


RASULULLAH DAPAT MENYEMBUHKAN MATA QATADAH YANG KELUAR


    Ketika perang Uhud mencapai puncak kejayaan, pasukan kafir Makkah mundur mengalami kekalahan. Namun begitu, harta kekayaan orang-orang kafir membuat pejuang-pejuang muslimin menjadi terpesona, tiba-tiba harta benda itu menjadi penyebab kekalahan kaum muslimin. Para pemanah telah meninggalkan tempat mereka di atas gunung, kerana khuatir tidak mendapat pembahagian harta rampasan perang. Kemudian tempat itu diambil alih oleh musuh. Ramai dikalangan kaum muslimin menuju ke tempat harta kaum kafir yang tertinggal, hanya beberapa orang yang masih mematuhi pesan Rasulullah SAW. Padahal Rasulullah telah berpesan kepada mereka agar tetap bertahan di atas puncak gunung. Pada saat pasukan pemanah turun dari bukit, maka pemimpin tentera berkuda bernama Khalid al-Walid mengambil alih tempat itu.

     Ketika itu mereka membalas kekalahan mereka dengan memanah kearah tentera Islam yang sedang membahagi harta rampasan perang di bawah. Setelah Rasulullah SAW melihat pasukan berkuda menuju ke arah baginda, maka baginda pun berseru kepada umat Islam: “ke marilah wahai hamba-hamba Allah, barang siapa yang sanggup menghalang musuh, maka ia akan mendapat syurga.” Ramai sahabat yang menjadi benteng baginda, termasuk Abu Dujanah yang menjadikan punggungnya sebagai penghalang panah mengenai Rasul, sehingga seluruh tubuhnya terluka sebanyak tujuh puluh tempat.

    Seorang wanita bernama Nuibah salah seorang wanita yang sanggup berkorban sebagai benteng baginda. Dia menjadikan dirinya sebagai benteng daripada anak-anak panah, pedang serta rantai daripada mengenai Rasulullah SAW. dia begitu lincah dalam perjuangan dan sanggup mengorbankan jiwa dan raga demi keselamatan Rasulullah SAW. Setelah itu Qatadah datang membentengi Rasulullah SAW daripada serangan muusuh-musuh Islam, ia tidak gentar menghadapi ancaman maut demi membela kebenaran. Di tengah-tengah pertempuran itu, tiba-tiba matanya terkena panah sehingga matanya keluar.

    Kemudian dia menemui Nabi dan mengadukan perihal matanya. Lalu dipasang kembali oleh baginda sambil berdoa: “Ya Allah jagalah Qatadah sebagaimana dia menjada Nabi-Mu, dan jadikan matanya lebih bagus dan tajam penglihatannya.” Mata Qatadah menjadi semula. Begitulah mukjizat Rasulullah SAW yang menmbah kecintaan kita kepada baginda, kerana kebenaran dan keagungan agama yang dibawanya.

TOP

RASULULLAH SAW DAPAT MEMBELAH BATU BESAR


    Dendam yang membara di sanubari penduduk Makah masih belum padam, sebab kekuaan mereka alami kekalahan dalam Perang Badar, dan tidak memperoleh kemenangan mutlak dalam Perang Uhud. Akhirnya mereka merencanakan untuk berperang lagi dengan kaum muslimin. Kekuatan mereka ketika ini bertambah besar, mereka mengumpulkan angkatan perang yang ada di semenanjung Arabia berkumpul satu, di bawah pimpinan Abu Sufyan bin Harb. Usaha mereka itu diketahui oleh Rasulullah SAW, lalu baginda bermesyuarat dengan para sahabat untuk menghadapi kekuatan tentera musuh.

    Di antara mereka ada yang bependapat bahawa sebagai seorang muslimin kita harus berani dan kita harus keluar memerangi mereka. Ada juga yang berpendapat agar pihak kaum muslimin hanya menunggu dan bertahan daripada serangan mereka. Kemudian Salman Al Farisi pun datang, setelah ia mendengar para sahabat yang lain maka iapun berkata di hadapan Rasulullah “Wahai Rasulullah, kami pernah hidup di negeri Persia, apabila menghadapi musuh-musuh yang lebih besar, kami akan menggali parit yang memanjang mengelilingi kota.” Pendapat Salman tersebut diterima oleh baginda, kemudian seluruh kaum muslimin bekerja menggali parit. Ketika menggali, Salman menemui sebuah batu besar yang berwarna putih dan besar, yang sangat keras dan sukar untuk dipecahkan.

    Ramai para sahabat mencuba untuk menolaknya, namun tidak bergerak sedikitpun. Lalu batu itu dipukul, namun tidak pecah. Mereka tidak berani untuk mengatakan perkara itu dengan Rasulullah. Setelah semua sahabat merasa tidak mampu untuk memindahkannya dan memecahkannya, barulah mengadukan perkara itu dengan Rasulullah. Rasulullah mengambil pemukultadi dari tangan Salman Al Farisi. Dengan sekali pukulan sahaja batu itu menjadi retak dan memancarkan sinar lalu baginda bertakbir, kemudian takbir para sahabat pun bergema.

    Setelah keadaan menjadi tenang kembali, Rasulullah SAW memukul batu itu untuk kali yang kedua dan sampai pukulan ketiga barulah batu itu pecah berserakan. Batu yang keras dan besar itu akhirnya takluk dengan tangan manusia yang selalu dekat dengan Allah SWT sebagai pencipta batu tersebut. Setelah itu Rasulullah bersabda “Pada pukulan pertama ada sinar, sehingga aku dapat memandang istana-istana Al Hirah dan kota-kota Persia seolah-olah ekor anjing. Jibril memberitahu kepadaku bahawa umatku mampu akan menguasai tempat-tempat tersebut. Pada pukulan kedua ada pancaran sinar lagi, aku dapat melihat istana-istana yang menjulang tinggi di daerah Romawi bagaikan ekor-ekor anjing. Jibril memberitahu kepadaku bahawa umatku akan dapat menduduki daerah tersebut. Pada pukulan ketiga ada pancaran sinar, dan aku dapat melihat istana-istana kota Shan’a di Yaman. Jibril memberitahu kepadaku bahawa umatku akan mampu menaklukkan mereka. Oleh sebab itu, bergembiralah kamu.” Para sahabat ketika itu sangat senang mendengar kejaaan yang akan diterima oeh kaum muslimin seperti yang dikisahkan oleh baginda. Mereka mengucapkan Alhamdulillah atas janji-janji Allah Yang Maha Benar.

TOP


MAKANAN SEDIKIT BOLEH MENJADI BANYAK


    Penggalian parit untuk menghadapi tentera musuh terus dijalankan. Usaha tersebut melibatkan tenaga pekerja sehingga ia bagaikan projek raksasa. Ramai para sahabat berasa lapar dan ada diantara para sahabat melihat perut Rasulullah dalam keadaan di balut dengan batu untuk mengurangkan rasa lapar. Melihat keadaan itu, ada seorang sahabat nabi yang bernama Jabir tidak sampai hati melihat keadaan Rasulullah. Kemudian dia pulang ke rumah dan menyembelih anak-anak biri yang masih kecil, lalu di masaknya.

    Selain itu ia juga memasak sedikit gandum. Setelah masak, ia mengajak Rasulullah makan dirumahnya, namun baginda memerintahkan seluruh para sahabat yang menggali parit tersebut turut makan bersama. Baginda memerintahkan kepada Jabir agar periuk tetap diletakkan di atas tungku. Jabir menjadi terkejut ketika mendengar Rasulullah mengajak seluruh sahabat untuk makan dirumah. Seandainya mereka ikut makan sekuruhnya sudah tentu makanan yang disediakan itu tidak cukup. Mungkin di antara mereka ada yang mendapat kuahnya sahaja atau ramai yang tidak mendapat apa-apa.

    Jabir segera kembali ke rumah menyampaikan keresahannya kepada isterinya. Isterinya pun ikut terkejut, dan tidak tahu bagaimana cara untuk membahagikan makanan yang sedikit itu kepada sahabat yang sangat ramai itu. Setelah itu Jabir menyampaikan pesan nabi kepada isterinya agar jangan mengangkat periuk yang ada iatas tungkuu dan jangan memasukkannya ke dalam suatu bekas. Ketika para sahabat sampai di rumah Jabir, Rasulullah berpesan lagi agar jangan makanan itu diangkat dari tungkunya. Kemudian Rasulullah SAW membahagikan makanan itu kepada seluruh para sahabat, namun begitu isi periuk tersebut tetap seperti semula. Bahkan ketika seluruh sahabat telah merasa kenyang, isi periuk itu tetap tidak berkurang. Begitulah agungnya Mukjizat Rasulullah SAW.

TOP

DOA RASULULLAH AGAR DATANG RIBUT TAUFAN MENIMPA MUSUH


    Kaum muslimin sangat menderita dengan pengepungan yang diadakan oleh kaum kafir Quraisy tersebut. Melihat keadaan yang demikian, Rasulullah SAW sentiadsa menyuruh para kaum muslimin agar bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan datang. Bila ada musuh yang ingin melewati parit yang agak sempit,sehingga kuda mereka dapat melompat, maka mereka melepaskan anak-anak panah kepada mereka.

    Usaha yang kaum muslimin jalankan ini tidak memadai untuk mengusir kaum musuh yang jumlahnya sangat ramai. Kaum kafir berusaha untuk memutuskan hubungan kaum muslimin dengan dunia perniagaan di luar, akibatnya bahan-bahan keperluan harian semakin habis. Keadaan ini sengaja dilakukan oleh kafir quraisy aagr umat Islam menderita dan akhirnya menyerah kalah. Ada seorang sahabat memberitahukan kepada Rasulullah tentang perkembangan umat Islam, ada yang sedang mengalami penderitaan dan sebagainya.

    Mereka berusaha untuk melepaskan penderitaan itu, namun mereka tidak mampu menempuh musuh yang sangat ramai itu. Oleh sebab itu mereka meminta agar Rasulullah berdoa agar hilang segala keresahan yang membawa kepada penderitaan itu. Doa yang diajarkan Rasulullah itu dibacakan oleh kaum muslimin. Sehingga langit penuh dengan doa yang dibaca tersebut. Para malaikat membuka pintu-pintu langit untuk membawa doa tersebut kepada Allah SWT. Melihat umatnya semua berdoa, maa Rasulullah SAW pun berdoa: “Ya Allah, zat yang menurunkan Al-Quran cepat dalasm memberikan hisab. Jadikanlah persekutuan musuh berpecah belah, lai lintang pukang, jadikanlah persekutuan musuh yang akan menghentam mereka sendiri, dan berilah kami kami kemenangan atas mereka.” Tiba-tiba datang angin taufan. Debu-debu berterbangan, pohon-pohon banyak yang tumbang. Khemah-khemah mejadi tumbang menghempap kepala mereka sendiri. Melihat suasana yang sangat kacau dan merbahaya itu Abu Sufyan sebagai pemimpin mereka mengistiharkan agar seluruh pasukan kembali rumah masing-masing.

TOP

PANCARAN AIR DARI JARI RASULLLAH

    Ketika singgah di Hudaibiyah, disitu ada sebuah kolam yang dapat digunakan oleh para sahabat untuk minum dan berwudhu. Pada suatu hari, ketika baginda mengambil wudhu untuk mengerjakan solat Asar. Kemudian ada beberapa orang sahabat mndekati baginda. Setelah selesai berwudhu, baginda bertanya tentang tujuan mereka menemui baginda. Mereka menjawab bahawa air telah habis dan kering, mereka tidak mempunyai air lagi untuk berwudhu sedangkan waktu solat Asar telah tiba.

    Kemudian baginda memasukkan tangan baginda ke dalam tempat air baginda, dan memerintahkan para sahabat agar berwudhu dengan air tersebut. Ada sahabat yang mengatakan bahawa pada saat itu ia melihat air terpancar dari jari-jari baginda. Akhirnya mereka yang lebih kurang 1400 orang itu dapat mengambil wudhu semuanya.

TOP

AL-QURAN SEBAGAI MUKJIZAT TERBESAR


    Al-Quran merupakan mukjizat yang agung dan luar biasa. Jika mukjizat-mukjizat para rasul sebelum Nabi Muhammad SAW dapat dilihat pada zamannya saja, maka Al Quran adalah mukjizat yang dapat dilihat dan dibaca dari semenjak diturunkan sehinggalah dunia kiamat. Al-Quran adalah firman Allah yang terdiri dari 114 surat, yang dimulai dari surah All Fatihah dan diakhiri dengan surah An Nas.

    Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur. Al-Quran meliputi segala aspek dan kehidupan daripada ajaran Islam, ia meliputi aqidah, ibadah, muamalah, undang-undang, moral pergaulan dan akhlak. Oleh sebab risalah Rasulullah tidak terikat oleh waktu tertentu, tempat dan bangsa, maka ilmu yang terdapat dalam Al-Quran pun tidak terbatas dengan waktu. Setiap orang, bangsa dari mana sahaja boleh menggunakan ajaran Al-Quran dan Islam sebagai pegangan hidup. Kerana Nabi Muhammad diutus untuk seluruh alam dan umat manusia. Kebenaran dan Al-Quran dijamin oleh Allah SWT hingga akhir dunia ini.

TOP

 

 

 
©2004, SueMbokDyg