Puteri-puteri Rasulullah

ZAINAB AL-KUBRA R.A

RUQAYAH BINTI MUHAMMAD

UMMU KALTSUM

FATIMAH AZ-ZAHRA R.A


ZAINAB AL-KUBRA R.A


        Seorang gadis comel yang belum berusia 10 tahun itu telah menjadi permata Bani Hasyim dan pemuda-pemuda di Makkah bersaing untuk meminangnya. Namun di antara pemuda Quraisy tersebut tidak ada yang bertuah seperti Abi Al-‘Ash bin Rabi’, anak saudara ibunya sendiri.
Pemuda gagah itu sering datang ke rumah Rasulullah s.a.w sehinggakan mendapat layanan yang istimewa dan tersebar berita yang menyatakan bahawa dia adalah calon suami bagi Zainab yang turut menjadi pujaannya semenjak kecil. Dia selalu memerhatikan puteri Rasulullah itu semenjak dari kecil hingga dewasa.
Zainab adalah puteri tertua yang menjadi tanggungjawabnya untuk membantu ibunya kerana waktu itu Khadijah telah berusia lebih dari lima puluh tahun. Keadaan ini membuatkan Zainab cepat matang meskipun usianya masih muda.


        Abi Al-‘Ash yang melihat kelembutan dan kecekalan Zainab merasa berbesar hati dan bahagia. Pekerjaannya sebagai pedagang sering menghalanginya dari berkunjung ke rumah Zainab, apalagi di musim Haji di mana kota Makkah akan dikunjungi pedagang dan mereka yang datang menunaikan haji, kepergiannya ke Yaman dan Syam dalam musim panas dan dingin. Di Ummul Qura’ dia tinggal agak lama sehingga berbulan-bulan. Meskipun begitu, bayangan Zainab tetap lekat di pelupuk matanya sehinggakan terpisah jauh pun hatinya tetap tenang.

        Abi Al-Ash’ seorang yang suka merendah diri. Dia tidak pernah mempamerkan keberkesanannya menambat hati Zainab. Ini kerana dia tidak mahu menimbulkan permusuhan dengan pemuda-pemuda saingannya, tetapi cukuplah hanya dengan menyuarakan isi hatinya kepada ibu saudaranya Siti Khadijah yang baik hati itu.

    Abi Al-Ash’ menjadikan rumah Muhammad sebagai kiblat kedua setelah Kaabah, apabila dia pulang dari perjalanan jauh. Zainab berasa gembira sekali apabila dapat bertemu dengannya, apatah lagi apabila mendengar berbagai pengalaman yang diperolehi oleh pemuda pujaannya itu. Kadang-kala Abi Al-Ash’ membawakan buah tangan yang khusus dihadiahkan kepada Zainab, seperti gelang, kalung dan sebagainya. Zainab menerima hadiah tersebut dengan gembira kerana hal ini masih dianggapnya sebagai hubungan persaudaraan. Siti Khadijah melihat perkembangan perubahan sikap Zainab dan beliau merasa senang dan setuju sekiranya puterinya itu jatuh cinta dengan Abi Al-Ash’.
 

        Mulai saat itu, Khadijah merestui anak saudaranya untuk datang dan meminang Zainab dari ayahnya. Sebenarnya beliau masih ingin bersama-sama puterinya itu, tetapi beliau khuatir sekiranya ada keluarga Quraisy yang ingin berbesan dengan suaminya yang jujur itu.
Rasulullah seperti biasa sangat bijaksana setiap kali berhadapan dengan Abi Al-Ash’. Baginda mendengar dengan penuh perhatian ketika Abi Al-Ash’ menghuraikan permintaannya untuk meminang Zainab. Pinangan itu diterima oleh Rasulullah atas persetujuan Zainab sendiri. Berita gembira tersebut tersebar di seluruh Makkah. Ramai pemuda yang kecewa kerana harapan mereka telah musnah, namun tidak ada celaan atau hinaan yang ditujukan oleh mereka.
 

        Keberhasilan Abi Al-Ash’ menyunting Zainab adalah kerana ibu saudaranya Siti Khadijah sentiasa memberikan dorongan kepadanya. Disamping itu, kejujuran Abi Al-Ash’ dalam berbagai perkara khususnya dalam bidang perdagangan membuatnya menduduki barisan pertama dari deretan pemuda-pemuda kaya yang ingin meminang Zainab.
 

        Tiba saatnya Abi Al-Ash’ dan Zainab memasuki hari pertama di tengah keramaian dan hidangan perkahwinan yang dihadiri sahabat handai seluruh pelusuk kota Mekah. Kini Zainab hidup dengan damai dan sejahtera bersama suaminya. Allah mengurniakan mereka seorang anak lelaki yang diberi nama Ali bin Abi Al-Ash’ dan seorang anak yang bernama Umamah.
 

        Pada suatu hari, Zainab mendengarkan kata-kata dari ibunya yang sangat menakjubkan tentang turunnya wahyu kepada ayahnya yang menyatakan bahawa ayahnya telah dilantik menjadi rasul. Mendengarkan perkhabaran itu, Abi Al-Ash’ rasa kurang senang, ketika suatu malam beliau melihat keadaan kesihatan isterinya semakin teruk. Beliau berkata : “Demi Allah aku tidak mendustakan ayahmu. Tetapi aku benci andai nanti ada orang yang mengejekku dan mengatakan bahawa aku meninggalkan agama nenek moyangku kerana menuruti isteriku, aku harap kau boleh menerima alasanku dan memehami kedudukanku.”
Mendengar permintaan suaminya itu, air mata Zainab menitis dengan derasnya. Ingin rasanya beliau lepas dari kegelapan itu dan memberontak dari rasa yang menghimpit dadanya, tetapi beliau masih ingat nasihat ibunya untuk bersabar.
       

        Pada suatu hari, Zainab mendengar khabar yang luas tersebar di Makkah bahawa kaum Quraisy mengejar Rasulullah s.a.w dan sahabat setianya Abu Bakar yang telah lari dari Makkah secara diam. Beliau berasa sangat cemas namun hatinya kembali tenang setelah mendapat khabar bahawa ayahnya telah selamat sampai ke Madinah. Tidak berapa lama selepas itu, ada utusan dari Madinah untuk membawa kedua-dua adiknya iaitu Umi Kalthum dan Fatimah ke sana.
 

        Ketika pemergian adik-adiknya, Zainab terlalu merindui kaum keluarganya terutama sekali ayahandanya, Rasulullah s.a.w. Namun kehadiran suaminya Abi Al- Ash’ menghalang keinginannya. Lebih mengecewakan lagi apabila mengingatkan kedegilan suaminya untuk tidak meninggalkan agama nenek moyang mereka.
Manakala di Madinah, Islam semakin tersebar luas dan pengikut Rasulullah s.a.w semakin ramai. Malah membentuk satu pasukan perang untuk menghadapi peperangan dan pertempuran kelak. Dalam beberapa tindakan, pasukan Muslimin telah berjaya menghalang aktiviti perdagangan Quraisy di Madinah.
Berita yang tersebar luas itu membuatkan penduduk Makkah bimbang dan membuat persediaan untuk berperang. Mendengar berita itu, Zainab menjangka akan berlaku peperangan antara Quraisy dan umat Islam Madinah. Zainab amat bimbang dan serba salah untuk memilih antara suami dan ayahnya. Ini kerana kedua-duanya akan berhadapan dengan peperangan.
 

        Oleh kerana, terlalu bimbang dengan keadaan peperangan itu, Zainab menjadi terlalu takut dan membayangkan bahawa dirinya akan menjadi balu dan anak-anaknya akan menjadi yatim. Sehinggalah beliau menerima berita yang mengejutkan daripada Atikah binti Abdul Muthalib memberitahu bahawa tentera Islam telah menang dalam peperangan tersebut dan Zainab berasa sangat bersyukur kepada Allah s.w.t.
Teringatkan suaminya beliau menangis, tetapi Atikah memberitahu bahawa Abi Al-Ash’ selamat tetapi telah menjadi tawanan Rasulullah, ayah mertuanya yang bijaksana. Setelah rombongan Quraisy pulang ke Makkah, beberapa pahlawan telah menyampaikan berita kepada keluarga tentera yang telah ditawan supaya ditebus semula. Ini termasuklah Abi Al-Ash’.
 

        Manakala di Madinah, pihak tawanan perang di layan dengan baik. Abi Al-Ash’ telah diasingkan daripada tawanan lain dan tinggal bersama mertuanya untuk jangka masa yang lama sehinggalah beliau ditebus semula oleh pihak Quraisy. Pada suatu hari, telah datang seorang saudara Abi Al-Ash’ iaitu Amru bin Rabi yang diutus oleh Zainab untuk menebus semula suaminya. Lalu diserahkan sebuah bungkusan berisi kalung hadiah perkahwinan Zainab daripada ibunya, Siti Khadijah. Melihat akan bungkusan itu, Rasulullah berasa amat sedih sekali. Selepas itu, Rasulullah telah meminta persetujuan dari para sahabat untuk melepaskan Abi Al-Ash’ dan mengembalikan tebusannya. Para sahabat telah menyetujuinya , lalu Rasulullah s.a.w membebaskan menantunya itu sambil membisikkan beberapa pesanan untuk anaknya, Zainab iaitu isteri Abi Al-Ash’
Kepulangan Abi Al-Ash’ disambut dengan gembira oleh Zainab dan beliau berdoa kepada Allah s.w.t supaya dibukakan hati suaminya untuk menerima Islam. Di dalam kegembiraan Zainab, beliau sedar akan kesedihan suaminya. Dengan perasaan sedih dan hiba Abi Al-Ash’ berkata kepada beliau:
 

        “Kedatanganku ini adalah untuk berpisah denganmu, Zainab.” Zainab seperti tidak percaya dengan kata-kata suaminya itu. Abi Al-Ash’ telah menyambung lagi kata-katanya: “Bukan aku yang akan meninggalkanmu tapi engkau yang akan meninggalkanku.” Zainab semakin bingung memikirkan kata-kata suaminya itu. Sepanjang pengetahuannya, puak Quraisy sememangnya ingin memutuskan perhubungan mereka dengan Rasulullah s.a.w sehinggakan kedua-dua adiknya terpaksa di hantar semula kepada ayahnya di Madinah.
 

        Demi janjinya kepada Rasulullah, Abi Al-Ash’ terpaksa menghantar isteri kesayanganya kembali kepada Rasulullah s.a.w. Tepat pada hari pemergiannya, tibalah adik Abi Al-Ash’ , Kinanah yang diamanahkan untuk menghantar Zainab ke Madinah. Keberangkatan beliau adalah ketika beliau sedang mengandung 4 bulan. Ketika dalam perjalanan, mereka telah dikepung oleh puak Quraisy sehingga berlakunya sedikit perbalahan antara Kinanah dan ketua puak Quraisy, Habar bin Aswad Al-As’adi.
 

        Akibat daripada perbalahan tersebut, Zainab telah mengalami keguguran. Melihat akan keadaan Zainab yang merintih kesakitan itu, Kinanah telah membawa Zainab kembali kepada suaminya di Makkah dengan perasaan malu dan terhadap amanah yang diberikan oleh abangnya itu.
Setibanya di Makkah, suaminya Abi Al-Ash’ telah meraway isterinya, Zainab. Walaupun keadaan Zainab belum pulih sepenuhnya, beliau tetap dihantar pulang oleh Kinanah dengan selamat tanpa gangguan daripada kaum Quraisy.
 

        Setibanya di Madinah, kehadiran puteri Rasulullah itu disambut dengan gembira oleh penduduk Madinah. Di dalam kegembiraan itu, tersebar juga berita kemalangan Zainab semasa dalam perjalanan kembali ke Madinah. Mendengar akan perkhabaran itu, Rasulullah sangat marah dan mengarahkan para musafir dan kabilahnya supaya membakar hidup-hidup sesiapa sahaja yang telah menganiaya puterinya itu. Namun baginda kemudiannya sedar bahawa hukuman bakar hanya layak diperintah oleh Allah s.w.t. Dengan itu, hukuman itu telah diganti dengan hukuman bunuh.
 

        Keesokan harinya, Rasulullah s.a.w telah mengutuskan orang untuk membatalkan keputusannya. Setelah 6 tahun berlalu, Zainab telah hidup di bawah pengawasan ayahnya, namun harapannya tidak pernah padam untuk menunggu suaminya masuk Islam. Sehinggalah pada bulan Jamadil Aqhir tahun ke-6 Hijrah, Abi Al-Ash’ telah datang berjumpa dengan Zainab. Beliau berasa amity gembira dengan kehadiran suaminya itu, namun kegembiraan itu bertukar apabila Abi Al-Ash’ berkata: “Zainab, aku datang ke Madinah bukan untuk memeluk Islam. Aku pergi ke negeri Syam membawa daganganku dan sebahagiannya adalah milik kaum Quraisy. Ketika aku hendak pulang, aku telah ditahan oleh pasukan ayahmu yang dipimpin oleh Zaid bin Harisah.
 

        Mereka menguasai semua baranganku dan aku telah melarikan diri dari mereka. Aku datang ke sini adalah untuk bersembunyi dan minta perlindungan darimu, Zainab.”
Beberapa saat kemudian, dengan kemapuan yang mantap, Zainab telah keluar dan berseru dengan keras: “Wahai kaum Muslimin, aku telah melindungi
Abi Al-Ash’ bin Rabi!” mendengar akan suara Zainab itu, Rasulullah s.a.w langsung ke rumah puterinya dan menemui Abi Al-Ash’ di dalamnya.
 

        Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w datang, Zainab bermohon dengan penuh harap: “Ya Rasulullah…Aku melindunginya kerana dia anak ibu saudaraku dan juga ayah kepada anak-anakku.” Mendengar akan itu, Rasulullah berkata: “Puteriku, sayangmu dan penghargaanmu kepadanya janganlah sehingga melewati batas. Dia tidak dihalalkan untukmu.”
 

        Selepas itu, Rasulullah telah mengirim seseorang untuk mengawal abi Al-Ash’ menghadapnya di masjid, di mana di situ juga hadir para sahabat yang telah menahan Abi Al-Ash’ di perjalanan. Rasulullah berkata: “Inilah orang yang kalian tahan dan rampas hartanya. Kalau kalian kembalikan kepadanya, itu merupakan hal yang terpuji. Namun, kalau kalian tidak mahu itu adalah hak kalian.” Para sahabat menjawab: “Akan kami serahkan kepadanya, ya Rasulullah.”
 

        Maka mereka penuhi permintaan Rasulullah s.a.w., semua harta dan barang-barang yang dirampasnya telah mereka kembalikan. Abi Al-Ash’ menerima harta dan barang-barang tersebut dengan perasaan terharu. Dan pada waktu yang ditentukan, Abi Al-Ash’ berangkat dengan di hantar oleh Rasulullah s.a.w sendiri.
Abi Al-Ash’ langsung menuju ke Makkah, kaum Quraisy gembira dengan kadatangannya yang membawa harta benda serta barang-barang yang masih utuh. Selepas semua barangan itu diagihkan, dengan tegas Abi Al-Ash’ berkata: “Aku bersaksi, tidak ada Tuhan kecuali Allah dan Muhammad itu adalah utusan-Nya. Demi Allah, yang menunda aku masuk Islam hanyalah kata-kata kalian, dia inginkan harta kita namun setelah Allah selamatkan aku, maka aku kembalikan harta ini kemudian aku akan masuk Islam.” Mereka yang mendengar kata-kata Abi Al-Ash’ jadi bingung. Malah ada yang terkejut seperti disambar petir. Namun Abi Al-Ash’ tidak peduli, langsung pada waktu itu juga beliau kembali ke Madinah.
Di bulan Muharram tahun ke-7 Hijrah, Madinah telah banyak membuka hati kaum Quraisy untuk masuk Islam dan ketika Abi Al-Ash’ datang ke Madinah untuk masuk Islam , beliau telah disambut dengan terharu oleh kaum Muslimin termasuk Rasulullah sendiri.
 

        Abi Al-Ash’ diliputi keraguan, beliau sedar bahawa Islam menghapus perbuatan di masa lalu, maka diberanikan dirinya untuk bertanya kepada Rasulullah s.a.w, apakah beliau masih berhak meminta kembali isterinya? Rasulullah memberikan restunya dan menyuruh Abi Al-Ash’ ke rumah Zainab. Maka
sekarang berpadu kembali keluarga yang dulumya terpisah.
Setelah hidup dengan aman dan sejahtera selama setahun, tibalah masanya perpisahan yang sebenar.Zainab wafat pada tahun ke-8 Hijrah kerana penyakit yang dialaminya sejak jatuh dari unta ketika keluar dari Makkah dulu. Abi Al-Ash’ begitu menderita ketika tiba saat kematian isterinya. Dirangkul dan ditangisinya jasad isterinya sehinggakan membuat sahabat lainnya ikut menitiskan air mata kedukaan. Tidak ada yang berani menahan Abi Al-Ash’ berbuat begitu sehingga datangnya Rasulullah s.a.w melarangnya dan kemudian menyuruh para wanita untuk memandikannya. Abi Al-Ash’ pulang ke rumahnya yang hanya tingal kenangan. Hampir sahaja beliau termakan oleh kesedihannya. Namun disebabkan hiburan dua orang anaknya, Ali dan Umamah, seorang perempuan yang mirip dengan ibunya telah mengisi kesepiannya.
 

        Begitu juga dengan Rasulullah s.a.w, baginda sering membawa Umamah kemana saja sehinggakan ketika solatpun. Rasulullah s.a.w masih memberikan kesempatan kepada Umamah naik ke atas bahunya ketika baginda sujud di lantai dan sehinggalah baginda selesai solat, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
 

        Aisyah, isteri Rasulullah s.a.w pernah menceritakan bahawa pada suatu ketika Rasulullah s.a.w mendapat hadiah berupa kalung. Maka Rasulullah s.a.w berkata: “Aku akan berikan kalung ini kepada salah seorang ahli keluargaku yang paling aku sukai dan sayangi.” Isteri-isteri yang lain berkata: “Tentu sekali diberikan kepadakannya kepada Aisyah.”
 

        Ternyata dugaan isteri-isteri Rasulullah adalah salah. Rasulullah s.a.w telah memberikan hadiah tersebut kepada Umamah bin AbiAl-Ash’ yang dikalungkannya dengan kasih sayang seorang datuk. Sedang yang paling sedih dalam keluarga Rasulullah adalah Fatimah Az-Zahra. Ini adalah kerana baginya Zainab adalah ibu , kakak, kawan dan gurunya. Fatimah menangis apabila teringat jasa-jasa Zainab ketika dia masih kecil lagi. Kenangan akan Zainab telah mendorong dirinya untuk mengabadikan nama anak sulungnya dengan nama Zainab. Dengan begitu, dirinya boleh menyebut nama kakaknya itu setiap hari.
Tidak lama selepas itu, Abi Al-Ash’ pun turut meninggal dunia. Beliau meninggal pada bulan Dzulhijjah taun ke-12 Hijrah semasa kekhalifahan Abu Bakar.
 

        Beliau telah mewasiatkan puterinya kepada Zubair bin Awwam. Setelah Fatimah, emak saudaranya itu wafat, Umamah tealh dikahwinkan dengan Ali bin Abi Thalib. Umamah menjadi isteri Ali sehingga suaminya itu terbunuh. Ali sempat berpesan kepada Umamah sebelum meninggal: “Aku khuatir kalau aku mati, engkau akan dilamar oleh Mu’awiyah. Maka kalau kau menginginkan seorang suami, aku relakan Mughirah bin Nufal bin Al-Harits bin Abdul Muthalib menjadi pelindungmu.”
Benar seperti apa yang telah dikatakan oleh Ali bin Abi Thalib. Setelah selesai iddah Umamah, Mu’awiyah telah menyuruh Marwan untuk melamar Umamah dengan mahar 100,00 dinar. Hal ini telah dikhabarkan kepada Mughirah lalu beliau berkata: “Kalau kau mahu, terserahlah!” Umamah dengan tegas menjawab: “Tidak! Aku tetap berpegang pada wasiat Ali.” Lantas Mughirah berkata: “ Jika begitu, engkau ku lamar.”
Maka Umamah menjadi isteri Mughirah sehingga mati. Tetapi beliau tidak mempunyai keturunan. Apatah lagi abangnya, Ali bin Abi Al-Ash’ juga telah meninggal dunia ketika masih muda lagi. Dengan kematian Umamah, maka habislah sudah keturunan Zainab binti Muhammad.

[TOP]



• • RUQAYAH BINTI MUHAMMAD


        Perkahwinan Zainab, puteri sulung Rasulullah dengan Abi Al-‘Ash belum hilang kemeriahannya lagi, datang utusan keluarga Abdul Muthallib ingin menjalin ikatan kekeluargaan dengan keluarga Muhammad. Utusan itu adalah untuk meminta kedua-dua adik Zaianb iaitu Ruqayah dan Ummi Kaltsum. Dua saudara yang amat akrab sekali. Mereka telah meminang kedua-dua puteri Muhammad untuk Utbah dan Utaibah, 2 anak lelaki Abu Lahab yang terkenal dengan julukan bapa saudara Abdul Uzza.
 

        Ruqayah dan Ummi Kaltsum terdiam apabila mendapat tahu bahawa orang yang meminang mereka ialah Utbah dan Utaibah, anak bapa saudara mereka sendiri. Khadijah merasa sedih apabila mengenang akan nasib anaknya nanti. Fikirannya melayang, membayangkan keluarga calon besannya itu. Betapa beliau ragu melepaskan kedua-dua puterinya, Ummu Jamil, bakal ibu mertua kepada puterinya itu adalah seorang wanita yang kasar, sombong dan bengis. Segala sikap dan perilakunya tidak mencerminkan wanita Quraisy yang terhormat sama sekali dan itulah yang merunsingkan hatinya.
 

        Fikiran tersebut selalu mengganggu Khadijah, tetapi tidak disampaikan kepada suaminya. Padahal selalunya beliau adalah seorang yang sering berterus terang, tidak suka menyembunyikan sesuatu dari suaminya. Ruqayah dan Ummi Kaltsum telah dilanda oleh kebingungan. Bayang yang menyeramkan terpampang di hadapan mereka. Abu Lahab dan ibu mertuanya Ummu Jamil mengisyaratkan kehidupan yang tidak menyenangkan sama sekali. Mereka ssama sekali tidak mempersoalkan Utbah dan Utaibah. Keduanya memang pemuda bani Hasyim yang masih ada tali kekeluargaan dengan mereka dari sebelah ayah mereka. Ummu Jamil adalah keluarga Abdul Manaf; sedang Abdul Uzza adalah orang yang berjasa kepada keluarga mereka. Cintanya begitu besar kepada Muhammad, sehinggakan apabila mendengar khabar Muhammad lahir langsung hambanya, Tsuwaibah dibebaskan tanpa syarat.
 

        Semua jasa Abu Lahab tidak pernah dilupakan oleh mereka. Mereka pun sebenarnya tidak akan menolak anak lelaki keluarga bapa saudara Abdul Uzza itu. Kebimbangan mereka lebih tertumpu pada ketakutan menghadapi ibu mertuanya. Mereka telah terbiasa hidup dalam suasana yang harmoni dan menyenangkan dalam keluarga bahagia. Bersama orang tua yang mengasihinya, ibu yang bijaksana, ayah yang mulia dan tingkah laku yang sopan dan menarik hati.
 

        Gambaran keluarga Muhammad memang mengasyikkan, membuatkan sesiapa saja iri hati apabila melihatnya. Perkara ini jauh berbeza dengan keluarga calon mertua mereka. Oleh kerana mereka tidak mahu membuatkan ayah mereka malu kepada keluarga terdekat, mereka telah menerima pinangan keluarga Abdul Uzza. Upacara perkahwinan mereka berlangsung dengan lancar. Ruqayah dengan Utbah bin Abdul Uzza dan Ummu Kaltsum dengan Utaibah bin Abdul Uzza.
 

        Muhammad memberikan berkat dan restunya, kemudian menyerahkan keselamatan puterinya kepada Yang Maha Berkuasa. Begitu juga Khadijah, dengan penuh rasa kekhuatiran melepaskan kedua-dua puterinya ke rumah mertua mereka.
 

        Setelah selesai upacara pernikahan itu, Muhammad pergi beribadat dan bertafakur. Khadijah juga berasa hairan melihat suaminya yang lebih senang menyepi. Muhammad pula semakin sibuk dengan fikirannya tanpa sedikitpun mahu berkongsi kesusahan yang dialami dengan isterinya. Malam terus berlalu, hari demi hari berganti, naik turun seirama dengan kehidupan. Seirama pula dengan hati Khadijah yang mengikuti gerak langkah suaminya, Muhammad yang selama ini naik turun ke Gua Hira’. Adakalanya ingatan Khadijah melayang kepada kedua-dua puterinya, Ruqayah dan Ummi Kaltsum.

        Terbayang di matanya kehidupan yang menyedihkan bagi kedua-dua puterinya itu. Seperti yang telah dijangkakan akan terjadi, setelah khabar ke-Rasulan Muhammad tersebar luas, Ruqayah dan Ummi Kaltsum telah diceraikan oleh suami mereka. Ke-Rasulan Muhammad juga menyebabkan Abu Lahab pernah mengancam kedua-dua anak lelakinya. Ini semua adalah kerana ketajaman lidah Ummu Jamil yang berhasil mengikis kecintaan Abu Lahab kepada Muhammad.
 

        Ummu Jamil berasal dari keluarga Abdus Syams, beliau berbuat begitu kerana rasa iri hati dan mahu membalas sakit hati kaumnya kepada keluarga bani Hasyim. Beliau ingin memutuskan rasa kekeluargaan di antara keluarga bani Hasyim. Dari kaum bani Hasyim, hanya mereka sahaja yang menentang Muhammmad s.a.w. memang ramai bani Hasyim yang yang menolak unutk memeluk Islam tetapi mereka tidak menentang dan menghina Muhammad mahupun menyeksa kaum muslimin sepertimana yang telah dilakukan oleh kaum Quraisy dan Abu Lahab.
 

        Disebabkan dendam itu semua, kedua puteri Rasulullah telah menjadi janda. Ruqayah dan Ummi Kaltsum telah diceraikan dan dikembalikan kepada orang tuanya oleh Ummu Jamil dan Abu Lahab. Sekembalinya Ruqayah dan Ummi Kaltsum ke rumah orang tuanya telah menambahkan lagi semangat ketabahan dalam keluarga Muhammad s.a.w. Justeru Rasulullah s.a.w dan keluarganya merasa beruntung dan lega kerana kedua-dua puterinya telah terlepas dari cengkaman keluarga Abu Lahab.
 

        Allah s.w.t telah menunjukkan kuasa dan kebesarannya. Uthman bin Affan, seorang pemuda Quraisy yang gagah, tampan serta dermawan yang juga salah seorang daripada sepuluh orang mukmin pertama yang telah dijamin masuk syurga telah berjaya menggantikan kedudukan Utbah di hati Ruqayah.
Uthman bin Affan bin Abi Al-‘Ash bin Umayah bin Abdus Syams adalah pemuda Quraisy yang paling tinggi darjatnya berdasarkan keturunan, kaumnya pula adalah kaum terhormat di antara kaum Quraisy pada zaman Jahiliah. Perkahwinan mereka kali ini tidak dimeriahkan oleh kota Makkah. Tetapi mereka adalah pasangan pengantin yang paling serasi dan menyenangkan sesiapa sahaja.
 

        Kaum muslimin yang sedikit itu amat berbahagia dengan perkahwinan ini, tetapi sebaliknya pula bagi kaum Quraisy. Kemarahan mereka bertambah menyala-nyala. Mereka hairan kerana semakin mereka tertekan, semakin kuat dan berjayalah Islam. Jumlah kaum muslimin yang sedikit itu juga telah berani menentang kaum Quraisy yang begiut ramai.
 

        Kaum Quraisy kebingungan melihat keadaaan ini. Berbagai usaha telah dilakukan untuk menakut-nakutkan kaumnya agar tidak memeluk Islam, tetapi semuanya sia-sia belaka. Setiap kabilah telah berusaha mengembalikan kaumnya yang telah memeluk Islam. Diseksa dengan berbagai cara, dibaringkan di atas padang pasir yang panas terik, dipenjaradan berbagai derita lain telah mereka lakukan. Tetapi tidak ada satupun yang berhasil, mereka lebih rela mati daripada kembali ke agama nenek moyang mereka.
 

        Rasulullah s.a.w tidak sanggup lagi melihat penderitaan yang terpaksa dihadapai oleh kaumnya. Oleh itu, baginda telah menyeru agar kaumnya berhijrah ke Habsyah. Seruan tersebut telah diterima oleh Uthman. Setelah semua telah bersiap sedia, tibalah masa unutk mereka berangkat ke Habsyah bersama- sama dengan beberapa kaum yang lain. Perjalanan yang panjang akhirnya membawa hasil juga. Penduduk Habsyah menerima mereka dengan tangan terbuka. Keramahan memancar dari setiap mata penduduknya. Rajanya pula talah menjanjikan kawasan pertanian yang subur untuk mereka.
 

        Kehidupan mereka di Habsyah telah mendapat jaminan keselamatan. Meskipun demikian, hati mereka tidak pernah tenang, telinga mereka seakan–akan mendengar berbagai khabar tentang saudara-saudara mereka di Makkah. Kerinduan mereka kepada Makkah dan sanak-saudara tidak boleh terhapus begitu sahaja. Ruqayah tidak mampu untuk menahan gejolak kerinduan hatinya. Walaupun Uthman sentiasa ada disampingnya untuk melindunginya.
 

        Tetapi hatinya memberontak, kerinduan kepada kedua orang tua dan semua ahli keluarganya begitu menggetarkan dada. Kerinduan ini juga telah membuatkan Ruqayah jatuh sakit. Bahkan ketika terdengar khabar yang tidak begitu jelas tentang keadaan Makkah yang semakin buruk, Ruqayah telah pengsan dan mengakibatkan keguguran kandungannya.
 

        Setelah segalanya beransur pulih, keadaan Makkah juga bertambah baik. Keadaan ini telah mendorong mereka untuk kembali semula ke tanah kelahiran mereka. Ruqayah langsung menuju ke rumah oran tuanya sebaik sahaja tiba di Makkah. Namun semuanya tidak terduga sekembalinya ke rumah, dia hanya disambut oleh ayah dan adik-beradiknya sahaja. Ini adalah kerana ibunya, Siti Khadijah telah meninggal dunia.
 

        Ruqayah telah dapat kembali mengecap kehidupan di Makkah bersama keluarganya. Ketika Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, Ruqayah dan suaminya juga telah turut serta. Maka lahirlah putera sulung mereka di situ, yang diberi nama Abdullah. Bayi itu adalah sumber keriangan hatinya, segala kesedihannya terhibur dengan kemunculan si comel itu. Kematian demi kematian seakan-akan menjadi sejarah hitam dalam kehidupan Ruqayah.
 

        Kegundahan belum lagi hilang, disusuli pula dengan kematian puteranya yang baru sahaja berusia enam tahun kerana sakit. Penderitaan yang dialaminya telah membuatkan kesihatan Ruqayah merosot dengan cepat. Ruqayah telah diserang penyakit panas di kala kaum muslimin menyiapkan diri untuk berjihad. Uthman berkeinginan untuk sama berjihad namun keadaan Ruqayah tidak mengizinkan dirinya untuk turut serta. Namun penyakit Ruqayah tidak bertambah pulih malah dia telah menghembuskan nafas yang terakhir bersamaan dengan terdengarnya takbir kemenangan umat Islam di hadapan suami yang dikasihi dan mengasihi dirinya.
 

        Jenazah Ruqayah r.a telah disolatkan oleh Rasulullah s.a.w bersama kaum muslimin. Makam kota Madinah telah menerima penghuni baru iaitu Zatil Hijratain Ruqayah r.a, gelaran yang telah diberikan Rasulullah s.a.w kepada puteri keduanya itu. Yang beerti; “Orang yang telah berhijrah 2 kali, ke
Habsyah dan ke Madinah.”

[TOP]





UMMU KALTSUM



        Kebaikan yang diberi Allah s.w.t bukan saja kepada Ruqayah malah Ummu Kaltsum juga memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Bersama dengan
kakaknya, mereka telah dikembalikan ke rumah orang tuanya, diceraikan oleh suami masing-masing. Allah telah menyelamatkan Ummu Kaltsumdari tangan Utaibah bin Abu Lahab dan ibu mertuanya Ummu Jamil Hammalatul Hatab.
 

        Setelah bercerai, Ummu Kaltsum tinggal bersama dengan keluarganya. Ummu Kaltsum bersama dengan ibunya selalu bersedih apabila melihat ayahnya pulang dalam keadaan lelah, badan penuh dengan luka akibat dengki kaum Quraisy.
Setelah sekian lama, di hadapan suami dan anak-anaknya; Fatimah, Ummu Kaltsum serta Zainab, Khadijah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan penuh damai. Rasulullah juga sempat memberikan janji gembira akan kebahagiaan bagi Khadijah kelak di akhirat. Tidak lama selepas itu, baginda mendapat seru untuk berhijrah ke Yathrib bersama-sama dengan para pengikutnya.
 

        Waktu berjalan amat lambat, siang dilalui dengan penuh ketegangan dan ratapan ingin berjumpa dengan ayah mereka. Alhamdulillah, tidak berapa lama kemudian terdengar berita gembira bahawa Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar telah selamat sampai ke Yathrib. Selang beberapa lama kemudian datang pula Zaid bin Haritsah, utusan Rasulullah s.a.w untuk mengambil kedua-dua puteri beliau dan semua ahli keluarga Abu Bakar.
Dua tahun telah berlalu, berbagai peristiwa yang berlaku sama ada yang sedih mahupun yang menyenangkan telah mereka alami. Peperangan Badar yang membawa kemenangan, kematian Ruqayah akibat kesedihan, semuanya terjadi di hadapan mata Ummu Kaltsum. Sedang Ummu Kaltsum merenung takdir yang telah menimpa dirinya, tiba-tiba masuk Ummu Ilyasy, pembantu mereka. Rasulullah s.a.w telah memanggilnya unutk dinikahkan dengan Uthman bin Affan , bekas suami kakaknya Ruqayah yang telah meninggal dunia.
Ummu Kaltsum bergelar isteri kepada Utman bin Affan selama 6 tahun. Kejayaan dan keberhasilan ayahnya sempat dilihat, juga peranan suaminya yang besar, yang selalu berjuang di samping ayahnya sebagai pejuang serta seorang menantu.
       

        Satu kisah telah diriwayatkan, di Madinah ada sebuah telaga milik seorang Yahudi yang akan dijual airnya kepada kaum muslimin. Mendengar akan tawaran itu, Uthman telah menawar diri untuk membelinya. Tawar-menawar pun terjadi, tetapi Yahudi itu tetap dengan pendiriannya bahawa dia hanya akan menjual separuh sahaja dengan harga 12 ribu dirham. Uthman pun menyetujuinya dan dibayarnya. Perjanjiannya sehari untuk Uthman dan sehari untuk Yahudi.
Dengan kebijaksanaan Uthman, setiap kali tiba gilirannya, beliau akan menyuruh kaum muslimin mengambil air untuk persediaan selama 2 hari, sehingga sampai ke giliran yang berikutnya. Melihat keadaan itu, Yahudi tersebut sangat marahdan mendatangi Uthman untuk menjual separuh lagi bahagian telaga tersebut kepada Uthman dengan harga 8 dirham.
 

        Bulan Zulkaedah tiba di tahun ke-6 Hijrah. Rasulullah s.a.w dengan unta Al-Qaswa’ disertai 500 orang sahabat tanpa senjata kecuali pedang disarungnya, telah berangkat menuju ke Makkah untuk melakukan ibadat Umrah. Ketika sampai di Hudaibiah, QuraiRasulullah s.a.w dengan unta Al-Qaswa’ disertai 500 orang sahabat tanpa senjata kecuali pedang disarungnya, telah berangkat menuju ke Makkah untuk melakukan ibadat Umrah. Ketika sampai di Hudaibiah, Quraisy telah menahan dan melarang mereka masuk ke Makkah. Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Rasulullah s.a.w telah menyuruh Umar untuk menjelaskan persoalanya kepada pihak Quraisuy. Umar telah menolak dan menyarankan agar Uthman saja yang pergi menyelesaikannya.
 

        Semua khuatir menunggu berita dari Uthman, tetapi tidak ada yang melebihi kekhuatiran Ummu Kaltsum. Beliau amat takut akan pengkhianatan Quraisy yang mungkin dilakukan terhadap suaminya. Berbagai khabar datang yang membuat hati Ummu Kaltsum tidak boleh tenang. Bahkan ada satu berita yang menyatakan bahawa Uthman telah dibunuh.
Namun segalanya hanyalah khabar angin sahaja. Uthman telah kembali dengan selamat dan menghilangkan semua kekhuatiran kaum muslimin. Beliau telah datang dengan membawa sederet persyaratan yang diajukan oleh kaum Quraisy kepada kaum muslimin dan akhirnya tercapailah kata sepakat dalam “Perjanjian Hudaibiah” meskipun ramai yang tidak bersetuju dengan perjanjian tersebut, termasuklah Uthman. Sebagaimana terjadi, Rasulullah telah menyetujui persyaratan Quraisy dan setelah selesai menandatangi perjanjian, baginda pun memotong rambut dan menyembelih korban. Ramai yang tidak mahu mengikutinya sehinggakan baginda terpaksa mengeluarkan perkataan yang agak keras serta melakukannya sendiri. Akhirnya semua kaum baginda telah menurut apa yang dilakukannya. Ummu Kaltsum gelisah apabila mendapaty tahu bahawa suaminya termasuk antara mereka yang tidak menyetujui perjanjian itu, dia takut sekiranya suaminya juga tidak mengikuti apa yang dilakukan oleh ayahnya.
 

        Ternyata masa penantian untuk memasuki Makkah tidak lama. Dua tahun kemudian, kaum muslimin telah berhasil untuk memasuki Makkah tanpa kesulitan. Fatimah dan Ummu Kaltsum juga turut serta dalam perjalanan yang menggembirakan itu. Hal ini membuatkan mereka bersedih apabila menyedari bahawa hanya mereka bertiga sahaja yang masih dapat melihat tanah Makkah kembali. Allah telah memanjangkan riwayat hidup Ummu Kaltsum sehingga dapat menikmati kejayaan umat Islam hasil perjuangan panjang yang menuntut berbagai korban dari umat Islam. Akhirnya tiba saatnya bagi Ummu Kaltsum menghadap Pencipta-Nya, selepas kakaknya Ruqayah. Ummu Kaltsum wafat pada tahun ke-9 Hijrah di bulan Sya’ban tanpa meninggalkan sebrang keturunan. Beliau dimakamkan di sisi makam kakaknya, Ruqayah di Madinah.
 

        Kematian Ummu Kaltsum membuatkan Rasulullah s.a.w berasa amat sedih, rasanya bencana kematian yang menimpa beliau bertubi-tubi tanpa kenal belas kasihan. Hikmah Allah untuk Ummu Kaltsum ternyata begitu besar. Allah telah menghindarkan Ummu Kaltsum untuk mengalami penderitaan yang lebih besar lagi iaitu keyatiamn dan kejandaan. Ini adalah kerana selang setahun kemudian ayahnya, Rasulullah s.a.w telah pergi menghadap Allah Yang Berkuasa. Beliau juga terhindar dari kekejian yang harus dilihatnya. Suaminya, Uthman bin Affan yang mati sebagai korban pembunuhan pihak yang tidak bertanggungjawab, 25 tahun kemudian.

[TOP]


• • FATIMAH AZ-ZAHRA R.A



        Beliau adalah puteri Rasulullah s.a.w yang keempat yang telah hadir di tengah masyarakat yang mendewakan kehadiran anak lelaki. Fatimah lahir pada tahun ke-5 sebelum kenabian Rasulullah s.a.w. Kehadiran bayi ini disambut dengan penuh kegembiraan meskipun sebelumnya telah hadir tiga anak perempuan tanpa seorang pun anak lelaki. Suasana dalam keluarga mereka amat indah. Kedua-dua orang tuanya amat menyayanginya, begitu juga dengan kakak-kakaknya. Terutama sekali Zainab, kakak sulung yang mengasuh Fatimah seperti anaknya sendiri, teman dan saudara dalam susah mahupun senang.
 

        Ternyata limpahkan kasih sayang kakak-kakaknya tidak bertahan lama. Seorang demi seorang mereka telah pergi meninggalkan rumah orang tuanya. Zainab pergi mengikut suaminya, Abi Al-Ash’ manakala Ruqayah dan Ummu Kaltsum pula berkahwin dengan Uthbah dan Utaibah, kedua-duanya adalah keluarga Abu Lahab.
 

        Ketika beliau berusia 5 tahun, telah datang berita ledakan hebat tentang agama baru yang dibawa oleh ayahnya. Situasi yang dihadapi keluarganya, membuatkan Fatimah kehilangan keseronokan semasa kecilnya. Tetapi Fatimah tidak pernah menyesal, dia rela menionggalkan masa kanak-kanaknya untuk menghadapi derita bersama keluarganya. Semenjak Muhammad s.a.w menyampaikan ajaran agama baru itu sikap kaum Quraisy terhadap keluarga mereka amatlah menyakitkan hati. Fatimah yang masih kecil dapat memahami sepenuhnya apa yang telah terjadi ke atas keluarganya, terutama ayahnya.
 

        Tetapi ini yang membahagiakn Fatimah kerana kesunyian dan kesepiannya telah hilang. Kesepian yang dirasakan sebelum ayahnya menjadi Rasul justeru hilang setelah keluarganya menghadapi berbagai tindakan kekerasan dari mereka yang tidak mahu menerima ajaran ayahnya. Fatimah gembira kerana keadaan ini membuatkan hubungan keluarga mereka kembali erat. Kegembiraannya bertambah ketika beliau mendapat tahu bahawa Ali bin Abi Thalib, anak saudara ayahnya menyatakan dirinya sebagai kanak-kanak pertama yang memeluk Islam selepas keluarga mereka sendiri. Fatimah mempunyai harapan ynag besar yang ditujukan kepada Abi Thalib, ayah Ali yang juga telah diseru oleh Rasulullah untuk memeluk Islam. Bukan itu sahaja, malah Fatimah juga mengharapkan agar suami Zainab, Abi Al-Ash’ memeluk Islam. Itulah harapan Fatimah yang ternyata berbeza dengan apa yang dikehendaki Allah. Allah ingin menguji keluarga Muhammad dengan cubaan yang benar-benar berat dan pedih. Allah s.w.t ingin menunjukkan ketabahan dan kerelaan Rasulullah s.a.w berkorban agar menjadi contoh teladan bagi seluruh umatnya.
 

        Sejak kecil Fatimah telah mengalami derita penganiayaan bersama ayahnya. Pada satu ketika, Fatimah berjalan di samping ayahnya menuju Ka’abah dan dilihat oleh kaum musyrikin dan serentak dengan itu mereka berteriak manyatakan Muhammad adalah orang yang bodoh yang menyatakan kebesaran tuhannya. Dengan penuh kelembutan dan kesabaran Muhammad menyatakan bahawa dirinya berkata sesuatu yang benar dan Allah itu wujud.
 

        Mendengar akan jawapan itu, kaum musyrikin sangat marah dan dengan kasar mereka telah merenggut baju Rasulullah s.a.w., Fatimah tidak mampu berbuat apa-apa. Untunglah tidak lama kemudian telah datang Abu Bakar yang dengan kasar menepis tangan mereka. Kemudian mereka melepaskan Rasulullah tetapi kini kemarahan mereka tertumpah kepada Abu Bakar. Sebahagiannya memegang dan menarik janggutnya serta tangannya dengan kasar. Kemudian dimainkan pula kepala Abu Bakar. Fatimah sendiri yang menyaksikan sendiri ayahnya dihina dengan cara yang melampaui batas. Sedang Rasulullah s.a.w bersujud di Ka’abah, tidak jauh dari situ ada seorang yang sedang mengawasi baginda. Orang tersebut adalah Uqbah bin Abi Mu’ith yang telah meletakkan kotoran binatang sembelihan dipunggung baginda. Rasulullah s.a.w hanya diam tanpa mengangkat kepala baginda. Fatimah datang dan dengan keberanian yang ada beliau telah memaki Uqbah, dengan tangannya yang halus itu beliau telah membuang kotoran tersebut dari punggung ayahnya yang tercinta.
       

        Fatimah memang anak kesayangan Rasulullah s.a.w sebagaimana yang telah diriwayatkan dalam hadith Shahih: “Fatimah adalah sepotong dariku. Aku merasakan apa yang dirasakannya dan aku juga membenci apa yang dibencinya.” Bahkan dalam senarai 4 wanita terbaik dan salah seorang mereka adalah Fatimah. Tiga yang lainnya adalah Maryam, Aisyah, Khadijah sebagaimana disebutkan dalam kitab Fadhail Muslim, Thabaqat Ibnu Saad, Isti’ab serta dalam Ishabah.
 

        Sementara itu, Fatimah telah mekar semerbak bagai sekuntum melati. Usia yang menginjak ke 18 tahun, tetapi Fatimah masih belum ingin bernikah lagi. Hatinya belum sembuh dari kesan perkahwinan kakak-kakaknya. Tetapi akhirnya, masa dan usia menuntun fitrah yang seharusnya bagi seorang wanita. Perlahan-lahan hikamh perkahwinan dapat dimengertikan.
 

        Ali seorang pemuda yang beruntung kerana dapat memetik bunga terakhir dari rumah Rasulullah s.a.w itu. Sebenarnya Fatimah telah lama merasakan dirinya begitu dekat dengan Ali. Apalagi setelah mereka berada di Madinah. Bagi Fatimah tidak ada pemuda lain baginya selain dari Ali. Pemuda yang sejak kecil dekat dengan dirinya, pemuda yang pertama sekali menyatakan ke-Islamannya. Seorang pemuda yang keberanian dan kecerdasannya tidak ada yang dapat menandinginya. Tetapi Fatimah tetap berusaha menutup pintu hatinya. Hati kecilnya belum rela meninggalkan ayahnya sendirian. Semenjak ibunya meninggal, Fatimah adalah tiang rumahtangga menggantikan kedudukan ibunya. Beliau menjaga ayahnya dengan begitu teliti, sehingga mendapat julukan sebagai ibu ayahnya.
 

        Satu ketika Fatimah terfikir bahawa kedudukan dirinya di rumah Rasulullah akan tersingkir, kerana kedatangan Aisyah. Puteri Abu Bakar yang telah berhasil mengisi kekosongan hati ayahnya. Perkahwinan ayahnya dan Aisyah berlangsung beberapa bulan setelah Hijrah. Selepas perkahwinan itu, Fatimah telah pergi ke rumah suaminya, Ali bin Abi Thalib.
 

        Sebenarnya Ali bin Abi Thalib meminang Fatimah dengan rasa ragu-ragu kerana beliau merasakan yang dirinya tidak mempunyai apa-apa untuk mahar perkahwinannya dengan puteri bongsu Rasulullah s.a.w itu. Apalagi beliau pernah mendengar bahawa Rasulullah s.a.w telah menolak pinangan Abu
Bakar dan Umar ke atas Fatimah. Berita ini semakin meresahkan hatinya. Namun keberaniannya tumbuh apabila memikirkan bahawa dirinya mempunyai kelebihannya yang tersendiri iaitu Muhammad pernah dipelihara oleh ayahnya dahulu dan dirinya juga pernah tinggal bersama-sama Muhammad. Bahkan dirinya juga adalah pemuda yang paling awal masuk Islam.
 

        Oleh itu, beliau telah pergi berjumpa dengan Rasulullah untuk menyatakan rasa hatinya. Apabila berjumpa dengan Rasulullah, Ali telah menyatakan bahawa dirinya ingin meminang Fatimah tetapi dia tidak mempunyai apa-apa untuk dijadikan sebagai mahar perkahwinannya nanti. Mendengar akan pengakuan Ali itu, Rasulullah telah memintanya supaya menjadikan pakaian perang yang telah diberikan oleh Rasulullah dulu sebagai maharnya.
 

        Akhirnya, perkahwinan mereka berlangsung secara sederhana. Mereka diraikan dengan mengundang para sahabat untuk menyaksikan pernikahan Ali bin Abi Thalib dan Fatimah binti Muhammad. Perkahwinan mereka berlangsung pada bulan Rejab, setelah selesai perang Badar. Ali juga telah mampu menyewa rumahnya sendiri untuk tinggal bersama Fatimah, setelah perkahwinan mereka. Namun rumahtangga mereka tidak seperti yang dijangkakan.
 

        Diriwayatkan pada suatu ketika, Ali bin Abi Thalib ingin menikah lagi. Sedangkan itu adalah perkara yang paling dibenci oleh Fatimah. Beliau tidak ingin suaminya membawa saingan baru untuknya.
Ali r.a ingin menikah lagi dengan bersandarkan bahawa itu dihalalkan oleh agama dan itu akan menimpa sesiapa sahaja meskipun wanita itu adalah Fatimah, puteri kesayangan Rasulullah s.a.w. Ali menganggap bahawa Fatimah akan menerima berita ini dengan ikhlas, seperti teladan yang diberikan oleh Ummul Mukminin Aisyah yang hidup berdampingan dengan Hafsah dan Ummu Salamah. Namun pernikahan itu tidak diizinkan oleh Rasulullah kerana Ali ingin bernikah dengan cucu bekas musuh Islam yang terbesar iaitu Abu Jahal. Allah juga tidak mengizinkan puteri Rasul-Nya untuk berkumpul bersama dengan puteri musuhnya untuk selamanya. Setelah berita pernikahan Ali itu tidak mendapat keizinan dari Allah dan Rasulullah, Ali telah membatalkan niatnya untuk bernikah semula dan memohon maaf kepada Fatimah kerana telah menyakiti hati puteri kesayangannya itu. Kehidupan mereka berjalan secara damai. Fatimah menjalankan semua tugas rumahtangga dengan dukungan sepenuhnya dari Ali. Kesedihan semakin lama semakin menghilang dari benak dan fikiran Fatimah. Ali sememangnya berusaha keras untuk menyesuaikan diri dengan apa yang diinginkan oleh Fatimah.

        Allah akhirnya menunjukkan rahmat dan rezeki-Nya pada keluarga itu. Fatimah telah mengandung dan selamat melahirkan anak pertamanya, seorang bayi lelaki. Bayi tersebut dinamakan Hasan dan dilahirkan pada tahun ke-3 Hijrah. Madinah turut bergembira dan merayakan kedatangan cucu
Rasulullah s.a.w itu. Rasulullah s.a.w telah bersedekah dengan perak seberat rambutnya kepada kaum fuqara Madinah. Baginda berasa sangat lega kerana telah mendapat cucu dari puteri yang paling disayanginya. Kegembiraan itu bertambah lagi, apabila setahun kemudian Fatimah melahirkan seorang lagi bayi lelaki yang diberi nama Husain. Dia dilahirkan pada bulan Sya’ban di tahun ke-4 Hijrah.
 

        Kehadiran kedua-dua cucunya itu amat menggembirakan hati Rasulullah s.a.w. Wajah baginda selalu sahaja berseri di kala melihat Fatimah memangku kedua-dua anak itu. Baginda berbesar hati kerana ada penerus kehidupan keluarganya di dunia ini. Tidaklah menghairankan apabila Rasulullah s.a.w benar-benar melimpahkan semua kasih sayangnya kepada kedua-dua cucunya itu. Bukan itu sahaja kenikmatan yang diberikan Allah kepada pasangan itu. Pada tahun ke-5 Hijrah, Fatimah telah melahirkan puterinya iaitu Zainab. Nama ini diberikan oleh Rasulullah s.a.w untuk mengenang puteri sulungnya.
 

        Dua tahun kemudian, lahir seorang lagi puteri dan Rasulullah menamakannya dengan nama Ummu Kaltsum. Pemberian nama ini menunjukkan Rasulullah masih lagi mengenang kedua-dua puterinya yang telah meninggal. Kegembiraan itu tidak lama, awan mendung mula nampak mulai nampak di atas Madinah. Rasulullah menderita sakit pada bulan Safar 11 Hijrah. Semua kaum keluarga menyangkanya sebagai sakit biasa yang akan segera sembuh, tidak ada seorangpun menyangka bahawa itu adalah petunjuk awal maut yang mendekati Rasulullah s.a.w. Mendengar perkhabaran itu, Fatimah telah kebingungan. Hampir setiap hari beliau menziarahi ayahnya. Suatu hari
 

        Fatimah datang kepada ayahnya dan Rasulullah s.a.w melihatnya dengan wajah yang amat gembira dan berseri-seri. Fatimah duduk di samping ayahnya, Rasulullah membisikkan bahawa ajalnya sudah dekat yang menyebabkan wajah Fatimah berubah menjadi sedih. Melihat keadaan itu, Rasulullah s.a.w berkata:
“Kelak engkaulah yang akan menyusul ayah, apakah engkau tidak senang menjadi ratu dari wanita-wanita umatku, wahai puteriku?” Perkhabaran ini membuatkan Fatimah tersenyum kegembiraan. Beliau tertawa senang setelah menangis, bahkan airmatanya pun belum hilang dari pipi.
 

        Takdir Allah s.w.t berlaku ke atas semua hamba-Nya, tidak terkecuali juga kepada utusan-Nya, Muhammad Rasulullah s.a.w. Di hadapan puteri dan isteri-isterinya, baginda menutup mata untuk selama-lamanya.
Selepas kewafatan ayahnya, Fatimah menghabiskan sisa hidupnya dengan berdiam diri dan menyepi. Fatimah telah menyerahkan sepenuhnya kepada kesedihan yang hampir sama di saat bonda dan kakak-kakaknya pergi meninggalkannya. Bahkan ini lebih pedih lagi. Keinginannya hanya satu, menyusul mereka secepatnya sebagaimana yang telah di khabarkan oleh ayahnya sebelum baginda wafat.
 

        Pada hari Isnin bersamaan 2 Ramadhan tahun 11 Hijrah, Fatimah telah merangkul semua ahli keluarganya yang datang untuk menjenguknya. Beliau juga meminta pembantunya memberinya mandi dan membaringkannya di atas katil di tengah rumah. Ali amat terkejut ketika sampai di rumah apabila mendapati isterinya telah memejamkan mata untuk selama-lamanya. Kemudian Ali memakamkan isterinya di Baqi’. Seluruh kaum muslimin merasakan kehilangan puteri bongsu Rasulullah s.a.w itu.

[TOP]


©2004, SueMbokDyg